Jarang sekali kita mendengar sebarang kontroversi melanda Festival Filem Cannes yang berlangsung di selatan Perancis pada setiap tahun.
Festival yang memartabatkan naskah-naskah filem terbaru dari seluruh dunia itu sinonim dengan kehadiran bintang berkelas ‘A’ dan gaya fesyen glamor.
Namun lain pula pada tahun ini apabila eksklusiviti yang dimiliki Festival Filem Cannes ke-76 itu telah dibayangi insiden kontroversi di karpet merah pada Ahad lalu.
Insiden yang bersifat protes itu menyaksikan seorang wanita berkulit putih yang tidak dikenali identitinya menyarungkan gaun berona biru-kuning bagi mewakili bendera negara Ukraine.
Sedang dia dan tetamu lain sibuk menaiki tangga ‘Palais des Festivals’ di lokasi berlangsungnya festival itu, dia memusingkan badan ke arah ke semua jurufoto yang ada di bawah dan dengan sengaja menuangkan dua beg cecair merah mirip darah ke atas kepala.
Terdahulu, beg tersebut disembunyikan pada bahagian dada gaun tersebut bagi mengelakkan petugas di sana merasa curiga.
Biarpun wanita berkenaan dengan segera diiringi oleh petugas keselamatan untuk beredar dari karpet merah, insiden tersebut menjadi topik bualan hangat seluruh dunia dan secara tidak langsung ‘meragut’ tumpuan yang seharusnya diberikan kepada karya-karya yang sedang dipertontonkan; terutamanya tayangan filem Acid arahan Just Philippot pada malam berkenaan.
Sehingga kini, identiti wanita itu masih belum didedahkan untuk pengetahuan umum. Apa yang jelas, motif perbuatannya adalah demi melaungkan protes ke atas pencerobohan tentera Rusia ke atas negara Ukraine sejak Februari 2022.
Sehingga kini, lebig 62,000 orang baik warganegara Ukraine, Rusia atau rakyat antarabangsa telah disahkan mati setelah pencerobohan berlaku.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.