Gaun Miss Universe Malaysia 2019 Ilham Pantai, Kostum Pula Ada ‘Meja Makan’

Share

 

Peminat pertandingan ratu cantik di seluruh dunia tidak sabar lagi untuk menantikan pertandingan Miss Universe Malaysia 2019 pada 8 Disember (9 Disember, pagi waktu Malaysia) ini.

 

Tahun ini, Miss Universe 2019 akan dianjurkan di Atlanta Georgia, Amerika Syarikat.

Namun sebelum itu, seperti kebiasaan, pihak penganjur Miss Universe Malaysia Organization memperagakan gaun rasmi dan kostum nasional yang akan disarungkan oleh wakil Malaysia pada setiap tahun.

Dan hari ini, mereka telah mengumumkan yang wakil negara, Shweta Sekhon akan memperagakan rekaan Carven Ong Couture untuk kedua-dua rekaan.

Jom lihat apakah inspirasi di sebalik rekaan tersebut.

 

Gaun Rasmi

Gaun berona karamel keemasan ini mewakili keindahan kawasan pantai di Malaysia. Ia bukan gaun biasa-biasa apabila turut ditata hias dengan siput sebenar (sea shells) daripada pantai yang dijahit kemas pada gaun.

Disebabkan figura Shweta yang tinggi lampai, Carven Ong telah menggunakan potongan korset dan bustier pada bahagian atas dan potongan duyung pada layah kain di bawah.

“Warnanya menggambarkan kehangatan pasir pantai dan keindahan batu karang di kawasan marin Malaysia. Saya ingin Shweta untuk merasa yakin dalam gaun yang elegan dan yakin dengan bentuk badannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sering Tersenarai Dalam Ramalan Top 15 Miss Universe 2019, Shweta Sekhon Tertekan?

 

Kostum Nasional

Kata Carven sebagai pereka fesyen, “Saya mendapat ilham untuk kostum ini daripada kepelbagaian budaya Melayu, Cina dan Peranakan di Malaysia dan sudah tiba masa untuk kita promosikannya di serata dunia.

“Masyarakat Peranakan mempunyai keistimewaan campuran budaya, terutamanya pada gaya hidup, upacara perkahwinan dan makanan mereka.

“Saya tahu yang Shweta boleh carry kostum ini sebaik mungkin di pentas Miss Universe kelak, walaupun ia mempunyai aksesori kepala, bahu dan 5 ‘meja makan’ di bahagian bawah.”

Kostum ini diperbuat daripada kain songket dan batik Nyonya dalam masa 3 bulan saja. Untuk bahagian aksesori di kepala pula, ia kelihatan seperti ‘Bunga Emas’ yang melambangkan cinta dan daya feminin si pemakai.

Seperti yang Carven jelaskan, terdapat ‘meja makan’ yang menghidangkan kuih onde-onde, koci, ang ku, kuih talam, kuih lapis dan kuih sago; kesemua itu adalah sebahagian daripada bakul tradisional Nyonya.

*

Macam mana guys, love tak?

Bagi korang yang pernah terlupa mengenai rekaan gaun dan kostum nasional Malaysia pada tahun lalu, jom recap kembali.

 

Published by
FZ