Pelakon dan finalis Dewi Remaja 2014/2015, Puteri Aishah baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Firdaus,28, pada 21 November 2021 dalam sebuah majlis yang diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.
Majlis yang diadakan secara tertutup itu dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat, pasangan sama cantik dan sama padan ini telah dinikahkan oleh Ustaz Mohd Abd Nasir Abdullah dan disaksikan oleh bapa pengantin perempuan, Sulaiman Abd. Rahman.
Dalam sesebuah majlis perkahwinan, antara yang menjadi tumpuan semestinya rekaan busana pengantin. Pelakon filem Pulang yang berusia 27 tahun ini dan suaminya memilih untuk menggayakan busana rekaan jenama fesyen lokal tersohor, Rizman Ruzaini.
Puteri kelihatan tampil mempesona, regal dan mewah dalam tiga helai busana berkonsepkan tradisi dan moden yang diolah dengan penuh eksklusif. Setiap satu busana terletak cantik ditubuhnya yang ramping
Busana pertama adalah helaian baju kurung moden rona putih untuk majlis akad nikah. Rekaan pada bahagian leher dan badan secara keseluruhannya dibiarkan polos dan perincian diberikan pada hujung lengan dan labuh baju dengan sulaman manik dan jemeki berona merah jambu lembut. Bahagian kain pula diberikan nuansa lebih dramatik menerusi kemasan lisu (pleated).
Untuk busana kedua pula Puteri menggayakan rekaan baju kebaya songket yang diberi sentuhan penuh kemewahan. Penampilannya dalam kebaya songket rona gangsa berlatar biru sarat perincian ini diserikan lagi dengan pemakaian cucuk sanggul di kepala sebagai pelengkap gaya keseluruhan.
Untuk majlis resepsi pula, Puteri tampil layaknya sebagai seorang ratu sehari. Dia memilih rekaan gaun potongan duyung rona putih bersih. Busana ini menjadi lebih mewah dengan perincian sulaman memenuhi bahagian pinggang sehinggalah ke labuh kain. Menariknya puteri tidak mengenakan sebarang tiara tetapi memilih menggayakannya dengan layah labuh meleret.
Jadi mana satu pilihan busana perkahwinan Puteri Aishah yang anda sukai. As for us, we love all of her dresses! Memang sesuai dengan personaliti dan kecantikan yang dimilikinya.
Selamat pengantin baru REMAJA ucapkan kepada Puteri Aishah dan suami.
++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.