Gelaran Dewi Remaja 2018/2019 Haneesya Hanee Ditarik Semula

Share

Selepas terpalit isu kontroversi video tular, gelaran Dewi Remaja 2018/2019 yang disandang oleh Sharifah Haneesya Sayed Sahlan telah ditarik semula. Kes seperti ini merupakan kejadian kali pertama dalam sejarah pencarian Dewi Remaja selama 10 edisi ia dianjurkan.

Pengumuman penarikan ini dilakukan oleh pihak NU Ideaktiv Sdn. Bhd. selaku pemilik jenama Dewi Remaja, sebelah tengah hari tadi.

Gelaran Dewi Remaja 2018/2019 Haneesya Hanee ditarik oleh pihak penganjur selepas dirinya melanggar peraturan dan klause kontrak
Haneesya Hanee menyerahkan hadiah dimenangi ketika malam finale

Menurut Editor Majalah Remaja, Faiz Aimman, penarikan gelaran Dewi Remaja 2018/2019 dan hadiah daripada Haneesya Hanee dibuat selepas pihak pengurusan melakukan siasatan mendalam dan mendapati pemenang ini telah melanggar syarat penyertaaan.

“Sebagai pemilik dan penganjur, kami menzahirkan rasa sedih atas apa yang telah terjadi. Namun pada masa yang sama, para peserta Dewi Remaja sudah sedia maklum akan syarat penyertaan seperti yang telah dinyatakan di dalam kontrak yang mereka tanda tangani” di mana mereka tidak boleh mempamerkan perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai,” katanya semasa sidang akhbar.

Haneesya ketika sidang akhbar sebentar tadi

Menurut Faiz Aimman lagi, dengan penarikan gelaran dan hadiah yang dimenangi tersebut, Haneesya Hanee bersama dua lagi finalis pencarian Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Faizni Fazreen Fazeera Faizul dan Erni Nurshahira Khairul Nizam tidak dibenarkan menggunakan gelaran ‘finalis Dewi Remaja’ bagi sebarang aktiviti seni mereka pada masa akan datang.

Dengan penarikan gelaran dan hadiah ini, bermakna tahun ini tiada gelaran bagi Dewi Remaja 2018/2019 dan Tia Sarah kekal di kedudukan kedua bagi pertandingan berprestij ini dan akan mewakili nama Dewi Remaja bagi sebarang aktiviti bersama pemenang lain seperti Aween Ismail, Arena Iman dan lain lagi.

Selain Haneesya, Ernisha juga dilarang menggunakan sebarang perkataan dirinya tersenarai sebagai top 12 finalis Dewi Remaja 2018/2019 bagi sebarang aktiviti seninya
Gelaran top 12 finalis Dewi Remaja juga tidak boleh digunakan oleh Fazreen Fazeera di masa akan datang selepas terpalit isu kontroversi

Di sebalik isu yang terpalit ini, tidak dinafikan manusia sering melakukan kesilapan dan tiada yang sempurna. Haneesya Hanee juga telah memberikan komitmen dan persembahan terbaik sehingga melayakkan dirinya bergelar Dewi Remaja 2018/2019.

Tiara kemenangan Haneesya Hanee yang diserahkan kepada pihak penganjur

Malah anak muda berusia 19 tahun ini juga mempamerkan bakat dan potensi yang luas sepanjang pencarian tersebut.

Menjawab isu kontroversi ini, jelas Haneesya dia akui berasa kesal dengan tindakan dan meminta agar netizen tidak mengecam ibunya yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

“Semua perkara yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab Hanee. Hanee akui tiada manusia yang sempurna. Dan ketidaksempurnaan ini akan dipikul oleh Hanee. Hanee meminta diberi peluang kedua,” katanya yang sudah pun mendapat kontrak modeling selepas kemenangan Ahad lalu.

Haneesya meminta diberi peluang kedua

Ternyata keberanian gadis hitam manis ini untuk memikul tanggungjawab membuatkan dia dilihat seorang yang berani dalam menghadapi cabaran dan dugaan. Pastikan kita sebagai manusia tidak terus menghukumnya kerana tiada manusia yang tidak membuat salah.

Dalam setiap cabaran yang diberi, Haneesya Hanee kekal konsisten dan semasa malam finale yang berlangsung pada 13 Januari 2019 lalu, dirinya berjaya memikat hati para juri Dato’ Hans Isaac, Datuk Aznil Hj. Nawawi dan Noor Neelofa yang memilihnya sebagai juara.

Menurut Haneesya Hanee pula, dia belajar daripada kesilapan dan tidak mahu menyalahkan sesiapa di atas kejadian tersebut.

Pemenang tempat kedua, Tia Sarah turut tampil pada sidang media untuk memberikan pendapat kepada rakan media. Tia Sarah akan mewakili finalis Dewi Remaja selepas ini untuk sebarang sesi temuramah

“Hanee ambil ini sebagai pengajaran terbesar. Tolong jangan nilai peribadi Hanee atau membuat perbandingan kesilapan dengan bakat sedia ada,” katanya yang mengakui masih bersedih.

Ya, kita memang tidak boleh menilai orang lain ya. Tiada manusia yang sempurna dan tidak membuat kesilapan. Kita semua perlu muhasabah diri masing-masing dan berikan ruang serta sokongan berterusan kepada Haneesya Hanee untuk kariernya pada masa akan datang seiring dengan bakat. Kami ucapkan selamat maju jaya kepadanya.

Haneesya Hanee melangkah masuk ke dalam industri sebagai seorang model dan mula mencuri tumpuan menerusi lakonan matap dalam drama Cik Reen Cik Ngok Ngek sebagai Zaza.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros