Kalau boring dengan lauk-lauk lain, sardin antara menu yang paling ringkas dan enak di makan bersama nasi panas. Selain dibuat sambal, bagi yang suka kelainan sardin akan dimasak gulai kuning bercampur kentang. Rasanya memang terangkat.
Kalau sebelum ini korang suka sangat makan sardin, selepas ini silalah berhati-hati ya especially yang suka sangat order roti sardin di kedai mamak. Tolong tanya mamak kat kedai tu dia gunakan sardin jenama apa? Bukan apa, ramai pekedai suka beli sardin jenama murah-murah sebab nak dapat untung banyak.
Untuk makluman korang, dalam seminggu ini tular di media sosial cacing dijumpai dalam sardin. Dan semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui sardin dari jenama TLC dan TL Tan Tung, kedua-duanya dari negara China disahkan mengandungi nematoda (sejenis cacing). Eweekk, gelikan. Malah kedua-dua produk ini sudah ditarik balik dari pasaran berikutan penemuan bendasing ini.
Baca kenyataan rasmi dari Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai kejadian sardin mengandungi cacing ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan yang tular di laman media sosial berkaitan cacing mati yang ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China. Laporan tersebut menyatakan bahawa pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan tiga (3) pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produknya dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China.
KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin.
Dalam isu ini, hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. dari negara China tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp.
Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh KKM di mana syarikat pengimport terlibat telah diarah memanggil balik produk tersebut. KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
19 April 2018