Pelakon kelahiran tanah air yang kini menuai nama di persada antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh akhirnya disatukan dengan jejaka pilihan hatinya Jean Todt, selepas 19 tahun menjalin ikatan tali pertunangan.
Terbaharu, ibu tercintanya, Datin Janet Yeoh, memaklumkan beliau tidak mengetahui mengenai majlis perkahwinan anaknya yang berlangsung Khamis lalu di Geneva, Switzerland.
ARTIKEL BERKAITAN: [TAHNIAH] 19 Tahun Ikat Tali Pertunangan, Tan Sri Michelle Yeoh Akhirnya Berkahwin
Menerusi laporan Sinar Harian, Janet bagaimanapun melihat ‘kerahsian’ berkenaan dari sudut pandang positif, selain berharap pelakon filem popular Everything Everywhere All at Once itu akan mengadakan majlis resepsi di Malaysia kelak.
“Anak saya memang sentiasa menghubungi saya tetapi menerusi perbualan dua minggu lalu, dia tidak bercakap mengenai perkara itu (majlis perkahwinannya).
“Mungkin dia sengaja nak berikan kejutan kepada saya,” katanya dalam wawancara bersama media berbahasa Cina, baru-baru ini.
Pada masa sama, Janet juga adalah individu paling gembira dengan berita perkahwinan tersebut, tambahan pula selama ini dia kerap meminta mereka agar segera berumah tangga.
“Todt sudah banyak kali melamar dan dia hanya ketawa serta mengatakan seronok setiap kali dilamar. Todt memang terlalu cintakan Michelle,” tambahnya lagi.
Sekadar informasi, berita perkahwinan Michelle dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Jean Todt, 70, diketahui ramai selepas bekas pelumba Formula Satu (F1), Felipe Massa berkongsi dalam satu hantaran di Instagram pada Jumaat.
Perkahwinan itu menoktahkan penantian Todt selama 19 tahun untuk menjadi suami Michelle selepas mereka bertunang pada 26 Julai 2004.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.