Apa sudah jadi dengan salah satu organisasi ratu cantik paling berkuasa di dunia, Miss USA?
Hanya dua hari selepas juara Miss USA 2023, Noelia Voight mengumumkan keputusannya untuk menyerah semula gelaran yang dimenanginya itu kepada pihak organisasi Miss USA, hari ini tiba giliran juara Miss Teen USA 2023, UmaSofia Srivastava pula untuk mengambil tindakan yang sama dan secara rasmi tidak lagi memegang gelaran yang dimenanginya pada tahun lepas itu.
Menerusi hantaran di Instagram pagi ini, UmaSofia, 17 menyatakan keputusannya itu adalah disebabkan perselisihan nilai keperibadian yang dirasakannya tidak lagi selari dengan hala tuju organisasi Miss USA.
“Saya menghargai semua sokongan daripada keluarga, pengarah organisasi negeri, rakan-rakan ratu cantik saya dan peminat yang memberikan sorakan kepada saya sejak saya memenangi gelaran (Miss New Jersey Teen USA 2023).
“Saya akan sentiasa mengingati waktu saya memegang gelaran Miss New Jersey Teen USA dan pengalaman mewakili negeri saya sebagai peserta berdarah kacukan Amerika-Mexico-India daripada generasi pertama,” catatnya.
Tambah UmaSofia, dia akan meneruskan advokasinya terhadap isu pendidikan dan penerimaan masyarakat terhadap komuniti minoriti seperti dirinya. Kini, remaja berkulit sawo matang itu bakal menumpukan fokus terhadap tahun terakhirnya di alam persekolahan dan persediaan untuk melangkah ke alam kolej.
Menariknya, UmaSofia juga berterima kasih kepada mereka yang memberi sokongan terhadap siapa dirinya yang sebenar selama ini dan bukannya terhadap dirinya setelah bergelar Miss Teen USA 2023 buat sementara waktu.
Ouch. Jelas, UmaSofia enggan lagi mengaitkan dirinya dengan pengalaman selama beberapa bulan bersama organisasi Miss USA dan Miss Teen USA itu.
Miss USA 2023 Juga Lepaskan Gelaran
Pada 7 Mei lalu waktu Malaysia, Noelia Voight yang juga wakil darah kacukan Amerika-Venezuela pertama untuk memenangi gelaran Miss USA pada tahun lalu mengejutkan dunia ratu cantik antarabangsa setelah memutuskan untuk melepaskan gelarannya; hanya berbaki dua bulan sebelum juara Miss USA 2024 dipilih.
Keputusan berat itu dibuat Noelia setelah mengambil kira keadaan kesihatan mentalnya dan berharap orang ramai juga mengutamakan kesihatan mental masing-masing sempena bulan kesedaran Kesihatan Mental di peringkat kebangsaan sana.
Noelia, 24 dalam kenyataan panjang lebarnya – juga menerusi Instagram – berkata pengalaman terbaiknya sepanjang bergelar Miss USA adalah semasa berkerjasama untuk kempen Smile Train dan apabila dirinya dijemput di majlis-majlis kempen anti-buli, kempen kesedaran keganasan dalam perhubungan dan hak imigrasi rakyat Amerika Syarikat.
ARTIKEL BERKAITAN: Negara Paling Berjaya Di Miss Universe, Bukan Semua Cemerlang. Ini 4 Wakil USA Gagal Bergelar Semifinalis – REMAJA
Spekulasi Peminat
Biarpun Noelia dan UmaSofia tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai isu sebenar yang menyelubungi dua organisasi besar itu, rata-rata peminat ratu cantik merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan cara organisasi baharu itu melayan wakil peserta serta juara yang dilantik oleh mereka.
Mereka juga berpendapat kepincangan yang berlaku dalam organisasi Miss Universe sendiri yang kini dimiliki hartawan Thailand, Anne Jakapong Jakrajutatip dapat dihidu sejak perletakan jawatan oleh bekas presiden organisasi Miss Universe, Paula Shugart dan CEO organisasi Miss Universe, Amy Emmerich.
ARTIKEL BERKAITAN: Miss Universe, Miss USA & Miss Teen USA Kini Milik Billionaire Transgender Asal Thailand – REMAJA
BACA LAGI: Organisasi Miss USA Di ‘Kerusi Panas’ Lepas Spekulasi Dibongkar Pesertanya Sendiri – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.