Ulang tahun kelahiran penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ke-45 hari ini, pastinya cukup istimewa dan amat bermakna buat dirinya.
Sempena ulang tahun kelahiran penyanyi kesayangan ramai ini, Remaja kongsikan ‘rahsia’ rutin penjagaan wajah dan tubuh badan daripada anak kelahiran negeri Pahang tersebut.
Maklumlah, figura ini sentiasa kelihatan awet muda persis anak dara walaupun separuh umurnya sudah memasuki empat siri.
Ads
ARTIKEL BERKAITAN: “Punyai Peminat Setia Satu Anugerah Yang Tak Ternilai” -27 Tahun Siti Nurhaliza Di Persada Seni, Mahu Jejak Royal Albert Hall Sekali Lagi
Semestinya juga sebagai seorang wanita yang bekerjaya, jadual hariannya tentu padat bagi menguruskan kerjaya hakiki dan keluarga tercinta. Namun, pada masa sama harus juga menitik beratkan penjagaan kesihatan dan wajah agar kekal sihat dan sejahtera.
Kongsi Siti Nurhaliza yang lebih disapa Tokti, dia memaklumkan dirinya tidaklah terlalu obses dalam penjagaan, namun sudah tentunya dia akan menggunakan set produk keluarannya agar kekal sihat luaran dan dalaman.
Selain daripada produknya, penyanyi lagu hit Wajah Kekasih itu juga tidak terlepas peluang untuk melakuan aktiviti senaman di kediamannya sahaja seperti Muay Thai dan gimnasium.
“Saya tidaklah terlalu obses dalam penjagaan tetapi sebagai pengasas produk, saya berusaha menghasilkan produk terbaik dan akan menggunakannya.
“Set penjagaan kulit muka dan juga kosmetik tentunya dari SimplySiti dan untuk minuman kesihatan luaran dalaman dari BeauSiti. Saya juga melakukan senaman, Muay Thai atau di gimnasium di rumah juga,” tuturnya kepada Remaja.
Bagi aktiviti outdoor pula, selain berbasikal, legenda negara ini turut akan ke sauna dan melakukan urut badan jika mempunyai kelapangan waktu.
“Selain berbasikal, saya juga akan masuk ke sauna jika ada waktu dan melakukan urutan badan juga,” kongsinya lagi.
Bagi yang mengikuti ibu kepada dua cahaya mata itu di media sosial, pasti gemar dan tidak akan terlepas melihat celoteh Tokti jika selebriti kesayangannya itu melakukan sesi siaran langsung.
Ada kalanya beliau melakukan sesi siaran langsung memasak, bersolek di dalam kereta dan sebagainya. Sempat juga Remaja bertanya mengenai perkara tersebut.
“Saya jarang ada waktu terluang dan saya gunakan waktu di dalam kereta untuk siaran langsung (live). Memasak juga saya buat live sekali sekala.
“Ini adalah realiti kehidupan, saya mahu memberitahu peminat bahawa saya juga seperti mereka menjalani kehidupan seperti orang lain,” ujarnya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ads
SUMBER FOTO: Instagram Siti Nurhaliza
Ads