
Saban hari, kesedaran kewangan semakin menjadi isu kritikal terutamanya dalam kalangan generasi muda dan terbaru, statistik dari Jabatan Insolvensi Malaysia juga menunjukkan bahawa sebilangan besar individu muda menghadapi masalah kewangan yang serius, termasuk kebankrapan akibat kegagalan mengurus hutang.
Antara faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah kerana perangkap perbelanjaan berlebihan dan pinjaman tanpa perancangan. Selain itu, mereka juga kurang diberikan pendedahan kepada pendidikan kewangan sejak usia muda.

Pendidikan kewangan bukan sekadar memahami nilai wang tetapi juga merangkumi aspek penting seperti perancangan kewangan, simpanan, pelaburan, dan pengurusan hutang. Melalui pendedahan yang betul, generasi muda dapat menguruskan kewangan dengan lebih bijak serta dan mampu membuat keputusan yang lebih baik bagi memastikan kestabilan ekonomi peribadi.
Jadi, kali ini meh REMAJA kongsikan beberapa tip kewangan yang mungkin anda boleh praktikkan supaya korang tidak menjadi penyumbang kepada statistik individu yang menghadapi masalah kewangan dalam negara…
Rancang Bajet & Make Sure To Follow!
Pastikan anda mencatat pendapatan dan perbelanjaan setiap bulan. Asingkan peruntukan untuk keperluan asas, simpanan, dan perbelanjaan lain. Kalau boleh, muat turun beberapa aplikasi kewangan yang boleh membantu merekod segala perbelanjaan untuk make sure anda tidak berbelanja melebihi kemampuan.
Simpanan & Kecemasan
Sebaiknya, mulakan tabiat positif untuk menyimpan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pendapatan bulanan untuk simpanan dan kecemasan. Sebagai contoh, mungkin anda boleh membuat satu tabung dana kecemasan sekurang-kurangnya bersamaan tiga hingga enam bulan gaji, untuk menghadapi sebarang kejadian tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan perubatan.
Say No To Hutang Yang Tidak Diperlukan!
Berhati-hati dengan penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi. Lebih lagi, zaman sekarang memang mudah sangat nak ‘cipta hutang’ dengan adanya konsep bayar kemudian di pelbagai platform beli belah atas talian.
Jikalau rasa perlu berhutang, pastikan anda faham dengan kadar faedah dan mempunyai rancangan pembayaran yang jelas. Sebaiknya, gunakan kad kredit dan gunakan konsep bayar kemudian itu jika rasa mampu untuk beri komitmen membayar semula setiap bulan bagi mengelakkan faedah tinggi.
Start To Invest!
Selain menabung, pelaburan juga boleh membantu anda mengembangkan lagi kewangan dalam jangka panjang. Untuk langkah awal, anda boleh fahami asas pelaburan dan mulakan dengan instrumen berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji, dana unit amanah, atau pelaburan dalam hartanah mengikut kemampuan masing-masing.

Jadi, kesimpulannya kesedaran kewangan adalah kunci kestabilan ekonomi individu dan kesejahteraan jangka panjang. Lebih awal anda mengamalkan tabiat kewangan yang bijak, generasi muda pada masa kini pastu dapat mengelakkan masalah hutang yang membebankan dan memastikan mereka mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk masa depan.
Selain itu, pendidikan kewangan yang kukuh bukan sahaja membantu dalam pengurusan wang tetapi juga membuka peluang untuk anda mencapai matlamat kewangan dengan lebih berkesan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.