Genting SkyWorlds Akhirnya Dibuka Minggu Depan, Harga Tiket Prapelancaran RM151

Share

Setelah sekian lama menantikan pembukaan taman tema di Genting Highlands, akhirnya Genting Skyworlds bakal dibuka pada 8 Februari 2022 dengan tiket yang akan dijual menerusi laman web dan aplikasi Genting Skyworlds bermula pada pukul 10 pagi esok (4 Februari).

Menurut Harian Metro, sempena pembukaan prapelancaran ini, Genting SkyWorlds menawarkan diskaun 20 peratus ke atas tiket penuh bagi kunjungan dari 8 Februari sehingga 31 Mac 2022. Harga tiket yang ditawarkan sempena prapelancaran ini adalah RM128 untuk kanak-kanak dan RM151 bagi orang dewasa.

Foto: Genting SkyWorlds

Dibina dengan nilai pelaburan melebihi AS$800 juta (RM758 juta), tarikan bertema baharu ini bakal melonjakkan nama negeri Pahang dan Malaysia di persada pelancongan dunia. Pembukaan taman tema ini dikhabarkan akan turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan.

Pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Aplikasi ini bukan sahaja akan memberi panduan yang komprehensif dengan maklumat masa nyata berkenaan Genting SkyWorlds, malah ia juga membolehkan pengunjung untuk mengemudi dan melawat taman berkenaan secara maya agar mereka dapat merancang aktiviti yang mereka minati terlebih dahulu, serta mencari arah dan jalan untuk ke destinasi mereka.

Foto: Genting SkyWorlds

Antara ciri-ciri aplikasi ini ialah, masa menunggu akan dipaparkan di aplikasi dan pengunjung boleh merancang masa mereka untuk permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mendapatkan maklumat tempat-tempat makan, membeli-belah, permainan, serta perkhidmatan Photo+ yang canggih.

Buat pertama kalinya di Asia Tenggara, aplikasi ini juga telah diintegrasikan dengan teknologi Virtual Queue (VQ), satu ciri pintar yang mampu mengurangkan masa menunggu yang lama dalam barisan fizikal dengan memberikan kebebasan kepada pengunjung untuk melakukan aktiviti pilihan mereka mengikut masa yang dipilih sendiri.

Foto: Genting SkyWorlds

Pemegang tiket berkumpulan juga boleh masuk secara berkumpulan sekiranya mereka menggunakan aplikasi Genting SkyWorlds VQ. Aplikasi ini turut membolehkan pemegang tiket melihat cadangan aktiviti berdasarkan pilihan peribadi mereka, dan menerima notifikasi secara masa nyata untuk tempahan tarikan, ketersediaan, dan hiburan menarik.

Taman Tema Genting SkyWorlds bakal membawa pengunjung mengembara ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia.

So guys, korang boleh mula membeli tiket dengan harga prapelancaran bermula esok. Selamat bercuti!

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman