
Nabila Razali dilaporkan sedang berehat di wad setelah dimasukkan ke Pusat Perubatan Tawakal, malam semalam.
Menurut pengurus Bella iaitu Ash, penyanyi yang popular dengan single Pematah Hati itu mengadu sakit perut dan badannya lemah sejak dua hari yang lalu.
“Dia mengadu sakit perut dan keadaannya menjadi semakin teruk pada petang semalam.
“Pada mulanya, dia sangkakan sakit perut biasa saja tetapi setelah doktor membuat pemeriksaan, dia didapati keracunan makanan dan dehydration lalu terus dimasukkan ke wad bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” terang Ash.


Tambahnya, sehingga kini pihaknya belum dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru kesihatan penyanyi tersebut oleh pihak hospital. “(Kami) juga tidak tahu bila dia akan keluar.”
Bella nampaknya perlu menangguhkan penggambaran drama Cintaku Di Bumi Izmir yang akan dijadualkan disambung selepas tamat cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Selain penggambaran, ada juga beberapa undangan persembahan hujung minggu ini yang mungkin terpaksa diketepikan. Apa pun, sama-sama kita doakan kesihatan Nabila kembali seperti biasa,” mohon Ash.
Get well soon okay! Rehat cukup-cukup, insyaAllah semuanya akan okay.
Hannah Delisha Mahu Rehat Seketika Dalam Lakonan, Fokus Pada Bidang Nyanyian

Lakonan Hannah Delisha dalam siri drama Cinta Sekali Lagi baru-baru ini mendapat perhatian kerana watak yang dimainkan sama sekali berbeza dengan personaliti lemah-lembut ini.
Amani, seorang wanita yang begitu kejam sehingga sanggup merosakkan kehidupan kakaknya akibat dendam sejak dari kecil lagi. Sejujurnya, kami juga tidak menyangka bahawa Hannah Delisha mampu menjadi ‘sejahat’ itu dan apa yang menariknya, ia memang sesuatu yang peminat tidak pernah lihat sisi lain personaliti itu.
“Sebenarnya masa Hannah lakonkan watak Amani ini, saya telah melakukan vlog di YouTube channel dan sudah menjelaskan kepada peminat tentang watak Amani ini seperti apa, betapa kejamnya dia dan saya juga dah beri ‘amaran’ pada mereka supaya tidak terkejut bila menonton watak Amani nanti,”
“Ini merupakan kali pertama Hannah membawa watak antagonis, tapi penerimaan peminat, hm memang la ramai yang kecam seperti biasa, cuma mereka faham ia hanya semata-mata watak dalam drama dan bukannya diri Hannah sebenar,” jelasnya.
Sebelum ini, Hannah juga pernah membawa peranan seorang gadis lemah-lembut, ‘sweet’ dan antagonis, agaknya watak apa lagi yang ingin dibawa oleh Hannah dalam dramanya akan datang?
“Mungkin saya ingin cuba memegang watak dalam drama atau filem aksi. Tapi, buat masa ini saya rasa ingin memberi lebih memberi fokus pada bidang nyanyian dan insyaAllah saya akan menceburkan diri dalam bidang perniagaan, so mungkin saya akan berehat seketika untuk berlakon, hm tengoklah how it goes,” jawabnya sambil tersenyum.
Hannah Delisha juga baru-baru ini ditemui di majlis pelancaran pelantikannya sebagai duta jenama minuman sparkling vida Vitamin C, iaitu minuman baharu yang mengandungi 1000mg vitamin C, didatangkan dengan dua perisa menyegarkan iaitu vida Vitamin C Lemon Sparkling dan vida Vitamin C Orange Sparkling.
Pelantikan ini juga dilihat tepat kerana beliau melambangkan maksud sebenar vida C sebagai sebuah jenama- sparkling, cantik, berpewatakkan anggun dan sentiasa ceria.
Apa-apa pun, kami doakan agar Hannah Delisha terus sukses dengan impiannya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian.
Dari Dibiarkan Tersadai, Singapore Airlines Ubah Kapal Terbang Jadi Restoran.

Industri penerbangan merupakan satu industri yang terkesan teruk dek pandemic Covid-19. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada syarikat-syarikat penerbangan di negara kita, rata-rata terpaksa mengecilkan operasi dan membuang ribuan pekerja.
Singapore Airlines tidak kurang juga menerima tamparan dek situasi ini, dikala keuntungan yang jatuh menjunam disebabkan pendemik, syarikat penerbangan negara kecil itu mengubah dua buah kapal terbang A380 menjadi restoran selama dua hari pada 24, 25, 31 Oktober dan 1 November ini.

Apa yang mengejutkan, idea ini ternyata menjadi popular dan menurut laporan Bloomberg, semua tempat duduk dijual dalam masa 30 minit selepas pembukaan. Nampaknya, memang ramai yang rindukan suasana untuk duduk di dalam kapal terbang dan disaji oleh pramugari.
Harga makanan di kelas suite adalah S$ 642 (RM 1958.52), sementara tempat duduk di kelas perniagaan pula berharga S$ 321 (RM 979) dan kemudian turun menjadi S$ 96.30 (RM 293.78) untuk ekonomi premium dan S$ 53.50 (RM 163.21)untuk ekonomi. Pelanggan juga boleh membayar dengan menggunakan poin menerusi program penerbangan kerap yang mereka miliki.

Biarpun kapal terbang ini boleh memuatkan sehingga 471 penumpang, namun hanya separuh kerusi akan digunakan bagi mengamalkan penjarakan sosial, bahkan penjagaan rapi seperti pembersihan dan proses nyahkuman dilakukan demi kesejahteraan semua.
Menurut laporan Straits Times Singapura, jenis menu yang akan ditawarkan oleh restoran sementara ini merangkumi masakan antarabangsa dan juga masakan peranakan yang disediakan khas untuk restoran sementara ini.
***P/S- Rindunya nak travel! Makan makanan dalam kapal terbang antara highlight bagi penulis. Semoga pandemik Covid-19 ini segera hilang dan kita mampu untuk terbang semula ke destinasi pelancongan yang diimpikan.
Sebutlah Nama Kawan Baik Dalam Doa, Lebih Mustajab & Malaikat Doakan Kita Semula

Dalam surah ar Rahman ayat 29 menyebut:
يَسْأَلُهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ
“Semua yang ada di langit dan bumi selalu meminta kepadaNya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan”. Diikuti pada ayat 30, Maka Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan. Berdasarkan ayat ni, ternyata “tugas” Allah itu sangat sibuk iaitu memperkenankan doa hamba-hamba yang meminta kepadaNya.
Dalam pada itu, kita selalu bercerita betapa seronoknya mempunyai kawan baik. Kawan yang boleh berkongsi susah dan senang. Kawan yang boleh berkongsi rahsia kita dan menjaganya sampai mati. Ya, kalau sekali kita bertemu, kita tak akan lepaskannya seumur hidup kita.
Tapi berapa ramai yang punya kawan baik menyebut nama kawan baiknya itu dalam doa yang dipohon pada Allah dalam solat lima waktu? Sebenarnya ada hadis menyebut, mendoakan sahabat itu tanpa pengetahuannya adalah lebih mustajab doanya. Lebih menakjubkan, malaikat akan mendoakan kita kembali selepas kita mendoakan sahabat kit aitu. Ini kerana mendoakan kebaikan orang lain dalam keadaan dia tidak mengetahuinya, adalah amalan yang sangat mulia. Islam mendidik umatnya supaya tidak mementingkan diri sendiri.
Kita dah biasa doakan ahli keluarga kita. Malah doa itu tak pernah lekang pun. Tapi jangan ditinggal doa buat sahabat kita, sebutlah namanya. Ini selari dengan satu soalan di page Mufti Wilayah Persekutuan, seorang sahabat bertanya apakah sahih hadith berdoa kepada sahabat tanpa pengetahuannya adalah mustajab?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, doa merupakan satu anugerah yang sangat istimewa dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita sebagai hamba-Nya. Sebelum kami menjawab persoalan di atas, di sini kami ingin nyatakan makna doa terlebih dahulu.
Menurut Imam al-Khattabi, makna doa adalah pemohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. [Lihat: Sya’n al-Du’a, 1/4]
Selain itu, Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam nas-nas ilahi. Antaranya, Firman Allah SWT:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”. [al-Baqarah:186]
Berkaitan soalan di atas, hadith berkaitan doa kepada sahabatnya tanpa pengetahuannya adalah mustajab adalah hadith yang sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Muslim di dalam kitabnya (Sahih Muslim).
Matan Hadith
Daripada Abi Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)”. [Riwayat Muslim (4912)]
Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. [Riwayat Muslim (4914)]
Makna Hadith
Adapun yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan “ظهر الغيب” adalah ketika orang yang didoakan itu tiada ataupun berdoa kepadanya secara diam-diam (tanpa pengetahuannya). Ini kerana, dengan cara itu akan menimbulkan atau meningkat tahap keikhlasan kita ketika berdoa. Selain itu, yang dimaksudkan dengan “مثل” adalah seperti yang didoakannya. Tambahan pula, ini menunjukkan akan kelebihan berdoa kepada saudaranya muslim secara diam atau sembunyi.
Walaupun yang didoakan itu adalah sekumpulan kaum muslimin maka dia akan memperoleh kelebihan ini (kemustajaban doa). Jika yang didoakan itu adalah sebahagian daripada kaum muslimin, zahirnya dia juga mendapat kelebihan ini. (iaitu Allah SWT memakbulkan doanya). Disebabkan itu, sebahagian salaf, jika mereka ingin mendoakan kepada dirinya, mereka akan berdoa kepada saudaranya muslim secara sembunyi kerana ia adalah mustajab dan mereka akan memperolehi yang sama seperti yang didoakan itu. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 17/49]
Fiqh al-Hadith
Antara fiqh al-Hadith yang boleh diambil daripada hadith ini adalah:
- Islam sangat menggalakkan setiap umatnya agar sentiasa berdoa kepada saudaranya.
- Kita dituntut untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita.
- Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT.
- Setiap apa yang kita doakan, Allah SWT juga akan mengurniakan kepada kita sama seperti yang kita doakan.
Penutup
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita berdoa kepada sahabat atau saudara kita dalam setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT. Ini kerana, doa memiliki kuasa atau kelebihannya yang tersendiri dan Allah SWT pasti akan memakbulkan setiap permintaan hamba-Nya tapi dengan cara yang berlainan. Akhirnya, semoga Allah SWT memakbulkan setiap doa kita serta menggolongkan kita daripada kalangan hamba-Nya yang menerima taufik dan hidayah-Nya. Amin,Wallahua’lam (sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)