GiatMARA Perkenal Program TVET Junior, Buka Ruang Pelajar Dalami Bidang Kemahiran

Share

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi GiatMARA bakal memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Junior di seluruh negara secara berperingkat mulai tahun ini.

Untuk permulaan, seramai 5,000 pelajar berusia antara 12 hingga 16 tahun disasarkan mengikuti kursus asas jangka pendek yang ditawarkan di 231 GiatMARA. Seramai 55 pelajar sudah menerima kursus latihan asas TVET di GiatMARA Padang Terap selama lima hari selepas ia dilancarkan pada 13 Mac lalu.

Foto: GIATMARA Sarawak

Apa yang ada dalam program TVET Junior ini?

Pelajar akan menjalani latihan atau kursus asas jangka pendek selama dua atau tiga hari pada hujung minggu atau cuti sekolah. Antara kursus yang ditawarkan adalah asas kemahiran seperti pendawaian elektrik, membaiki basikal, latihan masakan seperti membuat kek dan jahitan.

Foto: GIATMARA Sarawak

Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai TVET, selain mereka boleh buat sendiri jika berlaku kerosakan di rumah. GiatMARA juga bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan ketua kampung bagi memudahkan pelajar yang berminat menyertai program berkenaan.

Foto: GIATMARA Sabah

Peserta akan disediakan makan dan minum serta sijil serta selepas tamat kursus, mereka boleh memilih sama ada mahu meneruskan belajar kemahiran ke peringkat tertinggi atau belajar dalam bidang akademik.

Tidak dinafikan inisiatif yang dibuat ini dapat memberikan peluang khususnya masyarakat di luar bandar untuk menyertai kursus dan kelas-kelas kemahiran. Semoga program ini dapat menarik minat pelajar sekolah dan diharap agar lebih banyak lagi program seumpama ini dijalankan.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman