Hobi & Minat

Gigih Berbasikal Tujuh Bulan Dari China Ke Arab Saudi Demi Ronaldo – “Saya Sudah Bertemu Wira Saya”

Share

Seorang lelaki dari China jadi perhatian dunia apabila beliau berbasikal selama tujuh bulan dari negaranya ke Arab Saudi dengan tujuan untuk bertemu dengan idola sepak bolanya, Cristiano Ronaldo.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Gong, 24, dari wilayah Anhui di timur China, memulakan perjalanan dari rumahnya pada 18 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN : Nama Baharu Bakal Diangkat Sebagai Pemenang Ballon d’Or 2024, Messi & Ronaldo Tak Disenarai!

Dia berbasikal ke utara Beijing sebelum pergi jauh ke barat, kemudian memasuki Kazakhstan dari Xinjiang, dan melewati enam negara lain termasuk Georgia, Iran dan Qatar, sebelum tiba di Riyadh, Arab Saudi yang menjadi tempat pemain bola sepak kegemarannya itu berpangkalan pada 10 Oktober lalu.

Lelaki Berbasikal Tujuh Bulan Dari China Ke Arab Saudi

Bagaimanapun, Ronaldo pada masa itu berada di Eropah untuk satu perlawanan, tetapi kakitangan di Al Nassr FC berjanji untuk mengatur pertemuan selama satu minit dengan idolanya itu.

Pada 19 Oktober, seorang lagi peminat Ronaldo dari China, yang digelar Apple, melayan Gong untuk menonton perlawanan antara Al Nassr dan Al Shabab, di mana Ronaldo turut bermain.

Keesokannya iaitu pada 20 Oktober, Gong bertemu Ronaldo di hadapan Kelab Bola Sepak Al Nassr sekali gus merealisasikan impiannya sejak kecil.

Teruja dapat bertentang mata dengan idola

Dalam pertemuan selama satu minit, Gong menganggap ia seperti satu mimpi apabila Ronaldo berjabat tangan, memeluknya, dan menandatangani jersi Al Nassr nombor 7, dan sepanduk yang menulis nama rakan Gong dan ayat, “Apa yang saya impikan adalah cinta sejati dan kebebasan”

Dia memuat naik video pertemuan mereka di laman sosial dengan kapsyen “Saya sudah bertemu wira saya”.

Menurut Gong, idea untuk berbasikal ke Arab Saudi tercetus selepas Ronaldo membatalkan lawatannya ke China kerana kecederaan pada Februari lalu.

Secara keseluruhannya, Gong mengayuh basikal sejauh 13,000 kilometer (km) untuk bertemu bintang kesayangannya itu. Sebagai persediaan, Gong membawa dua bank kuasa 60,000mAh, sebuah khemah, peralatan memasak, pakaian dan beberapa barangan keperluan.

Di sesetengah negara, Gong hanya makan roti kerana harga makanan yang mahal dan dia menggunakan aplikasi terjemahan untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

Demi nak jumpa idola, gigih betul lelaki ini!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber : South China Morning Post (SCMP)

 

Published by
Nana