Obses Nak Kurus Boleh Jadi Punca Payudara Mengecut. Baca Penjelasan Daripada Pegawai Dietetik Ini

Share

Banyak kisah orang gemuk menjadi kurus viral di media sosial. Rata-rata melahirkan kekaguman bagaimana berat dari 100 kg menurun kepada 60 kg mengikut  ideal individu.

Mereka yang berjaya mengurangkan berat badan pasti akan berkongsi petua bagaimana diet ketat dilakukan. Ada beberapa sebab mengapa ramai cuba menurunkan berat badan.

Antaranya mahu gaya hidup lebih sihat. Ada juga yang berasa terhina, pernah dicemuh dan tak kurang juga pernah diketepikan kekasih kerana mempunyai berat badan berlebihan.

Tahniah pada yang dah kurus tu – Gambar giphy

Kenapa kebanyakan orang kagum bila individu gemuk menjadi kurus? Adakah kurus dilihat cantik? Tidak lakukah yang berbadan gempal?

Risiko paling utama bila berat badan mulai  kurus, payudara akan mula mengecut! Betul ke?

Kebanyakan remaja berusaha untuk menurunkan berat badan kerana ramai mengatakan kurus itu cantik. Mampu pakai baju ikut bentuk badan dan lain-lain jawapan. Malah kurus itu juga dikatakan mampu menawan hati kekasih. Tak kurang juga ada yang memilih untuk kurus kerana tak tahan  dibuli rakan sekolah.

“Abang abam”. “Akak abam”. Semua gelaran-gelaran ini boleh membawa perubahan negetif dalam diri individu yang mengalaminya.

Dalam dunia kesihatan, kebanyakannya menumpu kepada masalah obesiti berbanding dengan masalah kekurangan berat badan.

Cantik semestinya sihat – Gambar internet

Kurang berat badan atau kurus lebih sinonim dengan kecantikan. Persoalannya, adakah kekurangan berat badan ini tiada berisiko kepada masalah kesihatan?

Memandangkan semua obses dengan kurus dan kecantikan, baca nasihat Pegawai Dietetik U 44, Puan Rafidah Othman dari Jabatan Dietetik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), berkaitan risiko jika tubuh terlalu kurus.

Diet harus dilakukan dengan betul – Puan Rafidah

Jelas Puan Rafidah yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Dietetik berkata, kurus atau kurang berat badan memang boleh dikatakan menawan.

“Tetapi hakikatnya jika terlampau kurus boleh mengundang kepada beberapa risiko kesihatan. Antaranya malnutrisi, kekurangan vitamin atau anaemia (kekurangan darah merah).

“Di samping itu, kekurangan pengambilan vitamin D dan kalsium boleh menyebabkan osteoporosis. Sistem pertahanan tubuh, pertumbuhan terutamanya kanak-kanak dan remaja serta kesuburan juga boleh terjejas selain melambatkan proses penyembuhan luka selepas menjalani pembedahan,’ katanya memberi penerangan awal risiko jika terlampau kurus.

Jelasnya lagi, tubuh manusia memerlukan keseimbangan. Dalam diet keterlaluan, tubuh akan kehilangan sesuatu.

“Sebagai contoh malnutrisi yang bermaksud  kekurangan zat makanan di dalam badan. Ianya biasa terjadi kepada individu yang mempunyai kurang berat badan sama ada disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak sihat dan tidak seimbang, ataupun mempunyai penyakit yang mengganggu penyerapan nutrisi daripada makanan yang dimakan.

“Malnutrisi akan menyebabkan individu mengalami anaemia dan kekurangan vitamin. Pada jangka panjang, malnutrisi akan mengakibatkan tubuh badan menjadi cepat lesu, kerap jatuh sakit, mudah mendapat jangkitan, hormon tidak seimbang yang mengganggu kitaran haid, rambut gugur dan kulit kering.

Tambahnya lagi, penurunan berat yang mendadak boleh mengecilkan saiz payudara. Ini kerana elastin dan kolagen yang memberi sokongan kepada tisu payudara mengalami tekanan yang menyebabkan ianya berkurangan.  Dalam erti kata lain, payudara akan mulai kendur dalam susah untuk mendapatkan kembali tubuh yang montok.

Saiz bukan ukuran yang penting sihat – pix sumber internet

Dalam pada itu, Puan Rafidah berkata, pemakanan yang cukup dan seimbang adalah asas yang penting bagi kesihatan individu terutamanya golongan wanita. Ini kerana wanita yang sihat mampu memelihara kesihatan anak-anak.

Anak-anak wanita yang mengalami malnutrisi berisiko mengalami masalah kognitif, kurang ketinggian, mudah mendapat jangkitan serta berisiko tinggi mendapat penyakit serta boleh mengakibatkan wanita mengalami kesukaran ketika proses bersalin.

Jelasnya lagi, remaja wanita adalah golongan yang paling berisiko tinggi mengalami masalah malnutrisi kerana mereka sedang mengalami pertumbuhan yang pesat semasa remaja. Mereka memerlukan lebih protein untuk pecutan pertumbuhan manakala zat besi dan mikronutrien lain diperlukan semasa mengalami kitaran haid.

Anda bayangkan bagaimana remaja yang memerlukan lebih tenaga dan protein tetapi sengaja mengurangkan nutrisi akibat mahu kekal kurus.

Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anaemia kekurangan darah merah yang penting sebagai pengangkut oksigen daripada paru-paru ke tisu badan.

Individu yang kurus perlu melakukan senaman berkala. Senaman berkala yang dilakukan akan meningkatkan selera makan serta meningkatkan otot di tubuh badan. Otot adalah lebih berat daripada tisu lemak. Tubuh badan yang berotot adalah mempunyai bentuk yang lebih cantik dan menawan.

Kurus itu cantik kalau tubuh anda cukup dan lengkap pertumbuhannya. Jangan kerana terlalu obses kita melakukan sesuatu yang di luar jangkaan. Biarlah tubuh tak kurus mana tapi hati mesti mahu baik. Betulkan?

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros