Mungkin tidak semua berpeluang menjejakkan kaki ke bandar New York, tetapi kami yakin rata-rata daripada masyarakat dunia sudah mengetahui betapa meriahnya tempat tumpuan pelancong itu.
New York Time Square antara lokasi tumpuan utama di bandar Amerika Syarikat dengan suasana dikelilingi papan iklan lampu diod pancaran cahaya (LED) yang tersergam indah.
Bukan calang-calang jenama atau wajah yang berpeluang dipaparkan di papan iklan tersebut, tetapi penyanyi kelahiran Malaysia, Yunalis Zarai pernah menghiasi ruangan itu sewaktu pelancaran album Rougue.
Terbaharu, kumpulan Dolla turut berjaya muncul di papan iklan tersohor New York Times Square menerusi kempen EQUAL oleh penstriman digital Spotify.
Menurut wakil Dolla, terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi selebriti dari 50 negara, dimana Dolla sebagai wajah hadapan adalah wakil bagi senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura.
Foto papan iklan kempen ini turut dimuat naik di laman rasmi Instagram dolla.official dan rata-rata peminat melahirkan rasa bangga serta mengucapkan tahniah atas pencapaian ini.
Siapa sahaja yang tidak mengimpikan untuk berada di tengah kota mewah itu bukan? Apa-apa pun kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dolla dan semoga terus sukses dalam industri hiburan tanah air.
Sumber: (1)