#GirlPower: Diwakili 4 Pelajar Perempuan, SMKA Kuala Selangor Raih Pingat Emas Dan Anugerah Khas IENA Di Jerman

Share

Bagaikan srikandi menjulang nama negara ke peringkat tertinggi…

Empat pelajar Sekolah Menenangah Kebangsaan (Agama) Kuala Selangor berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila mereka meraih pingat emas dan juga Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg di Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022.

Ahli pasukan SMKA Kuala Selangor terdiri daripada para pelajar berusia 16 tahun iaitu Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi.  Mereka dibimbing oleh guru berpengalaman iaitu Mohd Ridzuan Mohammad dan Mohd Zulhelmi Mansor.

Kejayaan sekolah ini di arena antarabangsa menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri. Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri Malaysia kesembilan itu menitip kata semangat dan rasa bangganya terhadap para pelajar.

“Tahniah pasukan Master- H ECS dari Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Kuala Selangor kerana berjaya meraih pingat emas dan Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg di Nuremberg, Jerman, semalam.

“Tahniah kepada ahli-ahli pasukan terdiri daripada Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wakil SMK Tengku Temenggong Ahmad Satu-Satunya Pelajar Perempuan Bergelar Tiga Peserta Terbaik Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia

“Saya difahamkan pasukan ini telah menewaskan 490 pasukan dari 250 sekolah di seluruh dunia dalam Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (iENA) 2022 ini. Syabas saya ucapkan!

“Semoga kejayaan pasukan SMK (A) Kuala Selangor ini akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk turut terlibat dalam inovasi dan rekacipta sehingga  menggapai kejayaan,” ujarnya panjang menerusi hantaran tersebut

Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, IENA ialah pameran inovasi tertua di dunia yang dipertandingkan sejak lebih 70 tahun lalu bersempena pameran perdagangan yang mengetengahkan pelbagai ciptaan dan inovasi baharu terbesar di dunia.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Kredit foto: Facebook Fadzil VII

Published by
Fiezreen