Berita

#GirlPower Dr. Malar Dilantik Sebagai Ikon Bahasa Oleh DBP -“Saya Sembahyang & Berdoa Pun Dalam Bahasa Melayu”

Share

Personaliti media sosial dan juga seorang doktor, Dr. Malar Santhi Santherasegapana, meluahkan rasa syukur selepas dilantik sebagai Ikon Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada malam Selasa.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Dr. Malar menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tanggungjawab yang besar untuk memartabatkan bahasa Melayu.

“Terima kasih DBP atas pengiktirafan ini (Anugerah Ikon Bahasa DBP 2024). Walaupun saya bersyukur, namun setiap anugerah datang dengan tanggungjawab, maka bahu ini terasa makin berat.

ARTIKEL BERKAITAN: #GirlPower: “Layakkah Saya? Dan Saya Masih Kelu…” -Dr. Malar Terima Anugerah Pekerja Contoh 2023

“Doakan agar saya dapat pikul anugerah dan tanggungjawab ini dengan baik,” coretnya dalam ruangan kapsyen.

Menerusi hantaran yang sama, Dr. Malar juga mendedahkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa utama yang digunakannya sejak kecil.

“Saya ini cakap BM dengan adik-beradik, jadi seingat saya sejak kecil dah bercakap dalam BM. Tapi umur berapa itu saya kurang pasti.

“Kan orang selalu kata, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Saya ini dilentur sejak rebung dan memang betul pun saya halus macam buluh masa masih kecil,” katanya lagi.

Menurutnya, bahasa Melayu bukan sahaja bahasa pertuturannya, tetapi juga bahasa yang digunakan dalam banyak aspek kehidupan, termasuk dalam doa dan sembahyangnya sebagai seorang Hindu.

“BM adalah bahasa pertama saya. Saya berfikir dalam BM, saya geram dan menyumpah pun dalam BM.

“Bukan itu sahaja, saya sembahyang dan berdoa sebagai Hindu pun dalam BM juga. Memang pelik, tapi itulah bahasa selesa saya,” tambahnya.

Selain itu, Dr. Malar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang turut menyumbang kepada penguasaannya dalam bahasa Melayu.

“Terima kasih keluarga yang membentuk saya. Terima kasih juga kepada semua cikgu BM yang pernah mengajar saya, terima kasih buat semua pengikut saya di media sosial yang tak pernah jemu memberikan semangat.

“Dan terima kasih buat adik-beradik saya yang sampai sekarang masih lagi bercakap, bergaduh, bermesej dalam BM,” katanya.

Selain Dr. Malar, pempengaruh media sosial terkenal Boss James turut dilantik sebagai Ikon Bahasa oleh DBP. Pelantikan ini merupakan satu penghargaan kepada individu-individu yang memberi sumbangan besar dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Terdahulu, Dr. Malar juga menerima Anugerah Pekerja Contoh pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Facebook Dr. Malar

Published by
Fath