#GirlPower: Perempuan Pun Minat Bertukang, Renovate Dapur Demi Ibu Tersayang

Share

 

Aktiviti bertukang sinonim sebagai pekerjaan yang dilakukan oleh kaum lelaki sama ada sebagai sumber mencari rezeki ataupun sekadar hobi.

Tidak pelik jika kita melihat lelaki melakukan kerja-kerja bertukang kerana lazimnya masyarakat kita menganggapnya suatu pekerjaan biasa bagi kaum Adam.

Namun, bukan hanya lelaki sahaja yang mampu melakukan kerja-kerja bertukang ini tau. Gadis bernama Auni Hazwani membuktikan bahawa dia juga mampu melakukannya. Buktinya, gadis yang berasal dari Kuantan ini telah mengubah suai sendiri dapur kediaman ibunya.

Facebook: Auni Hazwani

“Sebelum ini ayah pernah renovate

bahagian dapur rumah kami. Tapi pada masa itu ia dilakukan dengan agak berterabur dan catnya pula bercampur-campur warna. Saya tidak selesa melihat keadaan itu dan memberi idea kepada mak untuk mengubah suai semula dapur tersebut.”
Dapur asal

“Mak saya seorang peniaga dan dia sering menggunakan dapur untuk membuat kuih. Dia juga suka menyimpan barang-barang lama. Oleh kerana itu saya berhajat mengubah suai dapur baru untuk mak supaya dia lebih selesa bekerja di situ.

“Setelah mak bersetuju, dengan bantuan ayah juga, kami berjaya renovate dapur dengan kos hanya RM1,500. Jika mengambil upah orang luar, harganya mungkin cecah hingga belasan ribu. Jadi, bila buat sendiri ia dapat menjimatkan wang dan lebih puas hati,” jelas Auni.

Facebook: Auni Hazwani

Ditanya bagaimana dia boleh melakukan kerja-kerja bertukang ini, Auni berkata dia memang mempunyai minat dengan kerja seni dan hanya belajar sendiri.

“Saya tidak melanjutkan pelajaran dalam bidang pertukangan pun, sebaliknya saya mengambil jurusan dakwah semasa di universiti. Tetapi, disebabkan minat mendalam kepada bidang seni, saya mengambil inisiatif belajar sendiri. Pada mulanya hanya minat kepada bidang lukisan, lama-kelamaan minat itu menjurus kepada buat kerja-kerja kayu pula.

“Sekarang ni pun, saya mengambil upah membuat almari, perabot dan kerusi meja pada waktu siang. Pada sebelah petang pula, saya pergi mengajar kelas Fardhu Ain,” katanya lagi.

Facebook: Auni Hazwani
Antara hasil perabot yang dihasilkan Auni
Instagram: aunihazwani

Auni turut berkongsi cerita bagaimana dirimahir melakukan kerja-kerja kayu. Semuanya atas inisiatif sendiri ketika dia bertemu dengan penjual kayu dan sempat menimba ilmu daripadanya. Selain itu juga, dia banyak mencari rujukan dengan menonton video tutorial di YouTube.

Lihat sahaja bagaimana hasilnya. Memang menakjubkan!

Kerja ubah suai di bawah ini dilakukan Auni dalam tempoh masa lebih kurang dua bulan sahaja.

Facebook: Auni Hazwani
Facebook: Auni Hazwani

Apa-apa pun kami ucapkan tahniah kepada Auni Hazwani kerana telah berjaya membuktikan bahawa kaum wanita juga mampu melakukan kerja-kerja bertukang yang lazimnya dipelopori oleh kaum lelaki.

Published by
Noor Ain Norman