Siapa kata wanita berhijab tidak boleh aktif dalam bidang yang dimonopoli kaum lelaki? Walaupun melakukan aktiviti-aktiviti lasak, namun aurat masih tetap perlu dijaga. Setuju?
Nora al-Matrooshi adalah salah satu contoh yang membanggakan wanita berhijab di seluruh dunia. Nora dipilih daripada lebih daripada 4,000 calon untuk mengikuti Kelas Calon Angkasawan 2021 NASA di Amerika Syarikat dan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) hanya dua orang dipilih.
Berita gembira ini diumumkan di Twitter oleh Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Mohammed bin Rashid al-Moktoum pada hari Sabtu, 10 April 2021. Wanita yang dilahirkan pada tahun 1993 secara rasmi menjadi angkasawan Arab wanita pertama di dunia. Hanya 65 wanita dari seluruh dunia yang pernah berada di angkasa lepas, dan Nora al-Matrooshi sedang dalam perjalanan untuk menjadi yang ke-66.
Pemilihan Nora al-Matrooshi untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan angkasa ini menjadikannya salah satu inspirasi untuk menjadi angkasawan Arab wanita pertama di dunia.
1. Menurut laporan Vogue Arabia, Nora al-Matrooshi dilahirkan pada tahun 1993 di Sharjah City, Emiriah Arab Bersatu. Beliau mendapat pendidikan di Universiti Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2015 dan lulus dengan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
2. Nora kalahkan lebih daripada 4,000 peserta untuk dilatih dalam misi penerokaan angkasa yang dianjurkan oleh NASA.
3. Nora adalah ahli Persatuan Jurutera Mekanikal Amerika. Dia kini bekerja sebagai jurutera di National Petroleum Construction Company yang berpusat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
4. Nora al-Matrooshi adalah pengurus projek untuk Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi.
5. Nora menduduki tempat pertama di UAE dalam Olimpik Matematik Antarabangsa pada tahun 2011.
6. Nora al-Matrooshi dipilih untuk Program Duta Belia UAE 2013 di Korea Selatan.
7. Nora, kini berusia 27 tahun, berkhidmat sebagai wakil UAE di Persidangan Belia Antarabangsa PBB pada tahun 2018 dan 2019.
8. Setelah menyukai ruang sejak kecil, Nora al-Matrooshi gemar melihat bintang dan menikmati pemandangan cakerawala pada waktu malam. Dia juga suka pertunjukan bintang dan pelajaran ruang di sekolahnya.
Lagi Dipinggir, Lagi Melarat Remaja PPR & B40
Isu keluarga B40 terutamanya remaja yang tinggal di sekitar ibu negara tidak selalu menjadi topik hangat di muka hadapan akhbar. Namun golongan ini wujud dan mereka sememangnya memerlukan semangat dan bantuan untuk mengejar cita-cita mereka dalam bidang yang diminati.
Kita sedia maklum, remaja B40 besar kemungkinan tidak mempunyai sumber yang mencukupi. Bahkan mereka juga tidak mempunyai ‘kabel’ yang kuat merealisasikan impian yang mereka inginkan pada usia muda. Biarpun mereka mempunyai bakat, potensi dan hati yang berkobar-kobar untuk berjaya, mereka masih memerlukan satu ejen untuk menggerakkan potensi yang ada pada mereka ke satu tahap yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, selebriti tanah air seperti Black Hanifah dan Aman RA juga asalnya merupakan remaja B40 juga.
Namun mereka bertuah kerana berjaya mengejar minat yang ada.
Justeru, tidak seharusnya mereka dipinggirkan begitu saja. Lebih-lebih lagi apabila wujud stereotaip di mana remaja B40 ini ‘tidak ada masa hadapan’ dan ‘selalu mencetuskan masalah sosial’. Semua itu harus diubah dan masanya adalah sekarang.
Itulah yang membuatkan penulis tertarik dengan penyedian program GENIUS Remaja yang mengkhususkan kepada remaja B40 demi memastikan mereka tidak tertinggal dalam mengejar cita-cita.
Sejak dicetuskan kira-kira 10 tahun lalu, seramai 6,798 orang remaja di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu negara telahpun mendapat peluang untuk mengikuti program GENIUS Remaja.
Daripada jumlah itu, 20 peratus telah berjaya melanjutkan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) manakala selebihnya telah bekerja, membuka perniagaan sendiri dan masih bersekolah.
Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia bersama-sama Kementerian Pendidikan (KPM) ini telah sedikit sebanyak memastikan bahawa remaja tidak terabai tanpa mengira latar belakang dan lokasi mereka.
Sebagai contoh, baru-baru ini, UKM telahpun menganjurkan pameran foto GENIUS Remaja dan Projek Impian Remaja yang membantu mengasah lagi kemahiran apabila peserta remaja yang terlibat telah diberikan pendedahan yang berguna.
Foto: Ihsan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menerusi Projek Impian Remaja ini pula, beberapa saluran baharu telah diperkenalkan di bawahnya seperti Program Anak Angkat Impian Remaja, Program Sumbangan Am Impian Remaja dan macam-macam lagi.
Ini secara tidak langsung mendekatkan remaja B40 dan PPR ini dengan syarikat berkepentingan seperti Kajang Plaza Medical Centre, Atomy Malaysia Sdn. Bhd., Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank), Yayasan Food Bank Malaysia, Malaysian Timber Council (MTC) dan Topaz Care.
Jangan sesekali kita pinggirkan sebilangan besar remaja di ibu kota ini hanya disebabkan oleh persepsi pra-matang masyarakat terhadap mereka yang menetap di kawasan ppr.
Mereka juga punya masa depan yang cerah sekiranya diberikan peluang dan harapan oleh kita sendiri.
Tahniah kepada GENIUS Remaja, KPM dan UKM kerana mewujudkan peluang bagi mereka ini untuk menambah keyakinan, skil dan keinginan untuk berjaya.
Kali Kedua Berlaku Tahun 2021, Tentukan Arah Kiblat Di Rumah Secara Tepat Esok Petang
Bulan Zulhijjah mempunyai kelebihan yang cukup istimewa di sisi Allah SWT.
Setibanya Zulhijjah, umat Islam disyorkan untuk memperbanyakkan amalan yang boleh menambah pahala dan bekalan akhirat kelak.
Esok bersempena 5 Zulhijjah 1442 (15 Julai 2021), umat Islam berpeluang menyemak arah kiblat yang tepat apabila matahari akan berada tepat di atas Kaabah pada jam 5.27 petang.
Penentuan arah kiblat melalui fenomena Istiwa A’zam ini adalah peluang terbaik untuk kita menyemak adakah arah kiblat kita di rumah sendiri selama ini tepat.
Menurut perkongsian Planetarium Negara, fenomena ini merupakan fenomena kali kedua yang berlaku dalam tahun 2021 selepas yang pertama berlaku pada 28 Mei lalu.
Dalam pada kita nantikan Istiwa A’zam esok, tentu ramai yang tertanya-tanya adakah sah solat kita selama ini jika kita tidak mengikut arah kibat yang tepat?
REMAJA kongsikan penulisan bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang kini Menteri Agama, Dato Zulkifli Mohamad Al Bakri yang pernah disiarkan di halaman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun 2017 mengenai sesetengah aplikasi dalam telefon yang dikatakan tidak tepat menentukan arah kiblat:
Adakah sah solat kita atau perlukah di qada jika tersalah arah kiblat?
Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain.
Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan.
Allah SWT telah berfirman dalam Al-Qur’an al-Kareem:
{فَوَل وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ}
Maksudnya: Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram, dan di mana dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya. (Al-Baqarah ayat 150)
Tafsir Ibnu Kathir juga ada menyebut bahawa ayat tersebut adalah arahan Allah kepada Rasulullah s.a.w. supaya beliau menghalakan mukanya ke arah Masjidil-Haram ke mana sahaja beliau keluar, juga arahan kepada kaum Muslimin supaya menghalakan muka mereka kearahnya di mana sahaja mereka berada.
Nabi Muhammad SAW pula telah bersabda:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah” (HR Bukhari : 1/145)
Adakah Perlu Qadha Solat Jika Didapati Salah Qiblat?
Para ulama’ berbeza pandangan dan pendapat dalam soal ini. Terdapat dua qaul (pendapat):
- Qaul pertama menurut Mazhab Syafi’e berpendapat solat yang telah dilakukan menghadap ke arah kiblat yang salah, wajib qadha semula solat yang telah dilakukan. Ianya dipetik daripada Minhaj at-Thalibin, dimana sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya.
- Qaul kedua pula berpendapat tidak perlu qadha solat yang telah dilakukan jika ternyata salah kiblat yang dituju. Ianya menurut salah satu qaul mazhab Syafi’iyyah, pendapat mazhab Hanafiyyah dan mazhab Malikiyyah.
Salah satu qaul dalam mazhab Syafi’iyyah menyebut bahawa tidak perlu qadha solat kerana adalah harus untuk berijtihad ketika menentukan arah kiblat solat dan solat apabila yakin arah yang dituju itu tidak salah. Manakala arah kiblat juga tidak diketahui ketepatannya secara hakiki, maka ia berbalik kepada kaedah ‘ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad yang lain.
Menurut pendapat Mazhab Hanafiyyah pula daripada Al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar:
Jika ada orang tidak tahu arah kiblat dan tidak ada seorang pun yang boleh ditanya tentang kiblat, maka dia boleh berijtihad (dalam menentukan kiblat), dan solatnya tidak perlu diulang, meskipun arah kiblatnya salah. Jika dia tahu kesalahan arah kiblat ketika solat, maka dia terus menukarkan arah kiblat ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dan jika dia solat tanpa berusaha mencari arah kiblat yang betul, kemudian ternyata ianya salah, maka wajib keatasnya mengulangi shalat yang telah dilakukan.
Dalam Durur al-Hukkam pula dinyatakan bahawa seseorang itu tidak perlu mengulangi solat jika didapati kiblatnya salah setelah dia berijtihad untuk menentukan kiblat tersebut. Hal ini kerana Allah SWT tidak mentaklifkan seseorang untuk menentukan arah kiblat yang tepat secara hakiki.
*
Secara kesimpulannya, isu penentuan arah kiblat adalah merupakan perkara ijtihadiyyah dan bersifat zhanniy sahaja. Arah kiblat yang ditentukan oleh pasukan falak syar’ie adalah berdasarkan kaedah-kaedah teknologi moden menggunakan peralatan.
Untuk memudahkan umat Islam, beberapa pihak yang pastinya berniat baik telah mengambil inisiatif mencipta beberapa aplikasi untuk telefon bimbit bagi memudahkan mereka menentukan arah kiblat solat. Namun apabila diselidik, ternyata banyak aplikasi yang didapati tidak menunjukkan arah kiblat yang tepat, bahkan jauh berbeza daripada arah kiblat yang sebenar.
Maka persoalan sama ada solat yang dilakukan berdasarkan arah kiblat yang dientukan aplikasi tersebut sah ataupun tidak, dan adakah perlu qadha solat tersebut. Kami memilih untuk mentarjihkan pendapat yang mengatakan solat itu sah dan tidak perlu qadha solat tersebut berdasarkan dalil-dalil dan rujukan yang dikemukakan. Ini bersesuaian dengan prinsip yang disebut dalam al-Qur’an al-Kareem:
يريد اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: Allah SWT ingin memudahkan kamu, dan tidak mahu menyusahkan kamu.
Firman Allah SWT yang lain:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: Bertaqwalah kalian kepada Allah SWT semampu mungkin. (At-Taghabun: 16)
Walaupun begitu, jika hanya satu atau dua waktu yang tersilap, kami syorkan untuk diqadha. Tetapi, jika sudah begitu lama dan bertahun, maka kami berpendapat ia dimaafkan dan tidak perlu qadha.
Sumber: Planetarium Negara
Pandemik Bukan Halangan Mahasiswa Aktif Berpersatuan
Kegiatan berpersatuan di universiti merupakan platform terbaik bagi mengasah minat dan menggilap bakat mahasiswa untuk mahir dalam pengurusan organisasi dan kemahiran insaniah. Peluang yang disediakan oleh pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar perlu direbut oleh mahasiswa.
Dalam mendepani era pandemik Covid-19 yang mana mahasiswa masih melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, kegiatan berpersatuan seharusnya tidak dipandang lesu.
Justeru, mahasiswa perlu proaktif seiring dengan perubahan semasa. Jika dahulu, kegiatan berpersatuan secara bersemuka mendapat sambutan yang amat menggalakkan, maka diharapkan perubahan dalam aktiviti berpersatuan dapat dilaksanakan mengikut kebiasaan baharu.
Di Universiti Teknologi MARA (UiTM), program pembangunan dan kepimpinan mahasiswa yang menjadi fungsi utama Bahagian Hal Ehwal Pelajar memainkan membina bakat mahasiswa. Di UiTM Shah Alam misalnya terdapat 362 pertubuhan pelajar yang terdiri daripada persatuan/kelab pelajar yang berdaftar yang membolehkan mahasiswa bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti. Pertubuhan berdaftar terbahagi kepada peringkat fakulti, umum, pengucapan awam dan patriotisme.
Mahasiswa boleh memilih untuk menganjur dan menyertai pelbagai kategori aktiviti seperti sains, teknologi dan inovasi, keusahawanan, kesukarelawanan, kebudayan & warisan, pengucapan awam, akademik/ilmiah, kerohanian, sukan dan wacana intelek.
Peningkatan jumlah pertubuhan yang berdaftar pada tahun 2021 menunjukkan kecenderungan mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti di luar kuliah. Sejak tahun 2020, penganjuran aktiviti pelajar menurun kesan daripada pandemik Covid-19. Ianya berlarutan sehingga September 2021.
Usaha terus digembleng oleh pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk menggalakkan para mahasiswa menganjurkan aktiviti secara dalam talian dan meningkatkan kecekapan tadbir urus dan pengurusan program. Jika pada tahun 2019 jumlah program yang dilaksanakan adalah sebanyak 1, 452 program, penurunan mendadak kepada 230 program pada tahun 2020, dan berlaku sedikit peningkatan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 334 program.
Platform digital sudah menjadi pilihan utama. Jika dahulu, misalnya untuk melaksanakan program merentas negara pastinya menggunakan modal yang besar, tetapi melalui kecanggihan teknologi dengan pelbagai pilihan platform digital, sesuatu program boleh dianjur dan disertai oleh peserta merentas benua.
Dalam memastikan kegiatan berpersatuan di universiti kembali rancak, sudah pastinya peranan penting perlu dimainkan oleh penasihat persatuan dan kelab. ‘Engagement’ perlu dibuat bagi memberi keyakinan dan kesedaran kepada mahasiswa bahawa kegiatan berpersatuan amat penting bagi mengasah potensi diri dan pengembangan bakat mereka.
Langkah mula ini perlu senada. Penasihat dan mahasiswa boleh menerajui penganjuran program yang berskala kecil sehinggalah program yang berimpak tinggi. Program yang dianjurkan perlu dirancang agar memberi kebaikan dan manfaat kepada penganjur mahupun peserta.
Mahasiswa adalah pemimpin pada masa hadapan. Mereka perlu dilatih menjadi pemimpin yang mahir dalam mengurus organisasi, juga bijak dalam menganjurkan program lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran pandemik mahupun krisis semasa.
Usah menjadikan alasan pandemik sebagai sekatan dalam aktif berpersatuan. Mahasiswa perlu kreatif dalam mendesain program yang bersesuaian. Setiap program mestilah mempunyai objektif yang jelas dan output yang ingin dicapai.
Pandemik bukanlah sekatan, malah peluang untuk mahasiswa aktif berpersatuan dan menggilap bakat kepimpinan masing-masing.
Pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada semua mahasiswa untuk aktif dalam kegiatan berpersatuan seiring dengan peranan dan fungsi utamanya untuk memastikan program pembangunan dan kepimpinan pelajar dapat dilestarikan dengan jayanya.
Pandemik perlu didepani dengan positif. Kembalikan kemeriahan aktiviti berpersatuan di kampus. Banyak pilihan dalam menganjurkan aktiviti misalnya boleh dianjurkan secara hidbrib iaitu gabungan secara dalam talian dan bersemuka dengan mematuhi segala prosedur yang ditetapkan.
Untuk tahun 2022 ini, UiTM menjangkakan penglibatan mahasiswa untuk kembali aktif berpersatuan dengan kebiasaan baharu yang mengujakan ini akan meningkatkan jumlah penganjuran program yang membina bakat mahasiswa dalam berorganisasi.
Mahasiswa berbakat sudah pastinya menjadi graduan idaman majikan. Justeru, segala usaha yang digembleng mestilah seiring dengan Lonjakan 10 Dalam Pelan Pembangunan Pendidijkan Malaysia untuk Pendidikan Tinggi 2015-2025 iaitu untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang akan tercapai.
***Artikel ini dihasilkan oleh Pusat Kegiatan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA Shah Alam.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.