Tidak sampai setahun jagung dalam industri muzik tempatan, gadis ini mampu sepentas bersama sebuah kumpulan legenda tanah air.
Selaku pemain dram, si pemilik nama Naimi Daini mula mencuri perhatian ramai terutama pencinta muzik apabila buat pertama kalinya tampil mempamerkan bakatnya bersama kumpulan rock terkenal, Search pada persembahan pertamanya di konsert NusaFest yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: #GirlPower: Bukan Calang-Calang Pelakon! Sara Mack Lubis Juga Seorang Peguam, Hasrat Mahu Bantu Wanita Tertindas
Baru menginjak usia 17 tahun dan masih di bangku sekolah, Naimi tidak menyangka kemunculan pertama sebagai pemain dram undangan pada konsert tersebut mendapat perhatian dan meraih respons positif daripada kalangan peminat kumpulan berkenaan.
“Alhamdulillah ramai yang beri maklum balas positif walaupun saya sekadar pemain dram undangan dengan Search.
“Memang gembira dapat bermain dram dengan untuk Search selain terharu kerana uncle Amy memuji dan melihat saya mempunyai persamaan dengan pemain dram terdahulu iaitu Allahyarham Yazit,” tuturnya kepada Remaja.
Naimi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui Remaja di sidang media Hausboom Music 2023 bertempat di Menara Affin @ TRX, pada Selasa.
Dalam pada itu, mengenai bagaimana bakatnya ditemui Search, dia memberitahu semuanya berlaku selepas gitaris kumpulan itu iaitu Hillary Ang menonton videonya bermain dram yang dimuat naik di platform YouTube.
“Uncle Hillary menonton video saya dalam YouTube dan terus mencari serta menghubungi saya untuk bertanya sama ada berminat bermain dram bersama Search. Apabila sudah bersetuju, saya diberikan dua lagu Search iaitu Dairi Habil & Qabil.
“Selain Pelesit Kota untuk dipelajari sebagai uji bakat. Saya tidak pernah pun dengar lagu-lagu Search sebelum itu, tetapi saya memang minat bermain dram. Syukur Search menyukai dan memberi respons positif,” katanya lagi.
Bertanya mengenai rutin hariannya pula, Naimi berkongsi dirinya akan menyertai sesi latihan bersama Search pada waktu petang sebaik sahaja pulang dari sekolah.
Dia bagaimanpun menegaskan pelajaran tetap menjadi keutamaan dan akan menyambung pelajaran dalam bidang muzik sejurus sahaja tamat persekolahan.
“Selepas pulang dari sekolah, saya akan berehat selama satu jam sebelum sertai sesi latihan Search kemudian pulang ke rumah dan siapkan kerja sekolah.
“Insya-Allah saya akan sambung pengajian dalam jurusan muzik dan jadikan bidang itu sebagai kerjaya kelak,” ujarnya panjang.
Pada Konsert Hausboom Music 2023 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 9 dan 10 September nanti, Naimi sekali lagi bakal membuat persembahan bersama Search yang dianggotai Datuk Amy, Nasir Daud selaku pemain gitar bass, Hillary (gitar) dan Man Kidal (gitar).
Sekadar informasi, kemunculan pemain dram berbakat besar itu juga bagi mengisi kekosongan posisi pemain dram selepas Allahyarham Yazit disahkan meninggal dunia pada tahun 2019.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Naimi