Gara-gara virus pandemik COVID-19 ‘berkembang pesat’ di seluruh dunia, Olimpik Tokyo yang sepatutnya berlangsung tahun lepas dijadualkan berlangsung pada Julai 2021 ini.
Menariknya, Olimpik di Jepun bakal melakar sejarah tersendiri lagi apabila memilih “Manusia Paling Tua Di Dunia” iaitu Kane Tanaka yang berusia 118 tahun bagi membawa obor sukan berprestij tinggi ini.
Untuk pengetahuan korang, Kane Tanaka dipilih menjadi pembawa obor sukan ini bukanlah calang-calang. Wanita Jepun ini telah dua kali berjaya mengatasi penyakit barah, pernah melalui dua pandemik global dan gemar minum air bergas akan membawa obor sukan Olimpik apabila tiba di Shime, bandar tempat tinggalnya di wilayah Fukuoka.
Tanaka dilahirkan pada 1903 – tahun sama perintis kapal terbang Orville dan Wilbir Wright mencatat sejarah dengan menerbangkan pesawat berkuasa pertama di dunia.
Meskipun Tanaka akan melakukan perjalanan obor sejauh 100 meter itu dari kerusi roda yang ditolak anggota keluarga beliau — warga emas itu bertekad untuk berjalan sendiri beberapa tapak ke garisan, di mana beliau akan menyerahkan obor itu kepada pelari seterusnya.
Tanaka malah mahu memakai sepasang kasut ‘sneakers’ barunya yang dihadiahkan oleh keluarga tersayang semasa sambutan hari jadi beliau pada Januari lalu.
“Biarpun nenek sudah berusia 118 tahun, beliau masih boleh mengamalkan gaya hidup aktif – kami mahu orang lain melihat nenek dan mendapat inspirasi bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan apa sahaja,” kata cucunya, Eiji Tanaka, yang dalam lingkungan usia 60-an tahun.
Pemegang rekod sebelum ini bagi pembawa obor tertua sukan Olimpik termasuk Aida Gemanque, 106 tahun, dari Brazil, yang menyalakan obor itu semasa Sukan Musim Panas Rio 2016.
Selain itu, pemain tenis meja Alexander Kaptarenko, 101 tahun, yang berlari dengan obor semasa Sukan Musim Sejuk Sochi 2014.
Terdahulu, Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 mengambil keputusan untuk menangguhkan Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020 ke tahun 2021.
Keputusan itu diambil antara Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, dan Presiden IOC Thomas Bach. Sekaligus ini merupakan penangguhan pertama Sukan Olimpik dalam sejarah 124 tahun penganjurannya, walaupun kejohanan terbesar dunia itu pernah dibatalkan pada tahun 1916, 1940 dan 1944 disebabkan Perang Dunia.
Sumber : CNN