
Kejayaan cemerlang pelajar Program International Baccalaureate (YTP-IB MARA) dari Kolej MARA Banting, Leia Mayssa, menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat, kini menjadi tumpuan di media sosial.
Pencapaian luar biasa ini dikongsikan oleh Hi-Edu MARA dalam hantaran di Facebook.
Leia, yang telah mewakili Malaysia dalam pertandingan International Mathematical Olympiad (IMO) 2022-2024, menunjukkan bakat luar biasa dalam bidang Matematik.
Sejak 2022, Leia telah menyertai IMO yang berlangsung di tiga negara, termasuk Oslo, Norway (2022), Chiba, Jepun (2023), dan Bath, United Kingdom (2024). Dalam setiap penyertaannya, Leia berjaya merangkul 1 pingat gangsa serta 2 Honorary Mentions, membuktikan keunggulannya di peringkat dunia.
Selain itu, Leia juga terpilih untuk menyertai Kem Matematik Antarabangsa, Maths Beyond Limits di Rycerka Dolna, Poland, yang berlangsung pada 8 hingga 21 September 2024.
Kem ini menghimpunkan 60 pelajar cemerlang dari 32 negara yang berkongsi minat mendalam dalam Matematik dan bertujuan membina jaringan global di kalangan mereka.
Atas kecemerlangan akademik dan prestasi yang luar biasa, Leia telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer di MIT bagi sesi kemasukan 2025. Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama Kolej MARA Banting, tetapi juga Malaysia di mata dunia.
BPT (Bahagian Pendidikan Tinggi MARA) menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian Leia.
“BPT amat berbangga dengan pencapaian Leia dan mendoakan kejayaan berterusan dalam perjalanan akademiknya di MIT.
“Semoga Leia terus menjadi inspirasi kepada pelajar lain dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Pusat PERMATA Pintar Negara juga turut mengucapkan tahniah kepada Leia atas pencapaiannya sebagai alumni di institut pengajian terkemuka tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Hi Edu MARA