Bukan calang-calang orang boleh tercalon untuk berada dalam pertubuhan Sigma Xi yang merupakan sebuah pertubuhan profesional antarabangsa yang terlibat dalam pelbagai disiplin kajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Namun bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa, Ainil Asyikin binti Norazman membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai selagi usaha dan kerja keras mengiringi. Menerusi maklumat yang tertulis di laman Linkedin miliknya, Ainil cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 9A+.
Meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik. Dia merupakan graduan Princeton University, New Jersey yang berstatus sebagai sebuah universiti bertaraf ivy league,
telah menerima anugerah The Donald Janssen Dike Award for Excellence in Undergraduate Research bagi kajiannya yang bertajuk “Automated Defect Detection: An end-to-end pipeline from data to deployment”.Seiring dengan penganugerahan ini, Ainil yang merupakan graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal & Aeroangkasa telah menerima wang tunai bernilai USD$2’000.00 dan turut tercalon untuk berada dalam pertubuhan Sigma Xi.
Dalam satu siaran yang dimuat naik oleh laman Facebook MARA USA, terdapat lebih 200 penerima anugerah Nobel dunia merupakan ahli kepada Sigma Xi seperti Albert Einstein (Theory of Relativity), Enrico Fermi (Creator 1st Nuclear Reactor), Linus Pualing (American Biochemist), Francis Crick (DNA molecular biologist), James Watson (Geneticist) dan John Goodenough (Scientist).
Menurut kenyataan itu lagi, “Kecemerlangan Ainil tidak bermula di sini, malah beliau merupakan bekas pelajar MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan bagi sesi 2014 dan penerima Anugerah Biasiswa Perdana yang melayakkan beliau membuat persediaan ke luar negara di bawah United World College bertempat di IB World School, Las Vegas, New Mexico.”
BACA JUGA: Guru Sekolah Rendah Dinobatkan Sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2022
Dalam tinjauan REMAJA ke laman Facebook Ainil, salah satu hantaran terpampang di situ yang menarik perhatian adalah status yang dimuat naik oleh ibunya.
“Satu misi yang berjaya. Kemasukan ke university bertaraf Ivy League, empat tahun susah dan senang menjadi seorang Princetonian. Gembira dan tahniah diucapkan kepada Ainil Azman, class of 2022. Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal & Aero Angkasa.
“Kamu membanggakan kami. Terima kasih kepada MARA dan Princeton yang secara langsung menjadikan anak kami sebagai anak angkat institusi ini. Dia melakukan segalanya termasuklah minor dalam bidang keusahawanan. Tiada sorotan tetapi kami tetap berbangga dengannya. The ONE Malaysian on the parade
,” ujar wanita itu bangga dengan pencapaian anak perempuannya.Kejayaan Ainil merupakan satu penanda aras dan seharusnya dijadikan inspirasi oleh remaja-remaja di Malaysia untuk menjadi yang terbaik.
Tahniah sekali lagi REMAJA ucapkan kepada Ainil!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber dan kredit foto: MARA USA