“Selama bertahun-tahun, saya mencari sesuatu yang akan memberikan keterujaan yang sama seperti pertandingan Miss Universe. Saya terus mencari dan mencuba perkara baharu tetapi tidak berjaya ‘mendapatkannya’… sehingga sekarang.”
Begitulah kata-kata Miss Universe 2015 dari Filipina, Pia Wurtzbach susulan kejayaannya menamatkan larian maraton New York City 2022, antara acara larian paling popular di dunia yang berlangsung semalam.
Menerusi akaun Instagram miliknya, Pia berkongsi kisah di sebalik catatan masa sekitar lima jam yang direkodkannya bagi menamatkan jarak 42 kilometer.
“Maraton NYC bukan sekadar satu perlumbaan, ia adalah satu pengalaman yang banyak memberi pengajaran. (Ini mungkin) larian terbaik dalam hidup saya,” katanya yang kini menjadikan sukan berlari sebagai langkah untuknya keluar dari zon selamat.
“Telah lama saya rahsiakan impian ini kerana saya berasa malu atau tidak yakin dengan kemampuan atletik saya. Bayangkan saya umumkan ingin menyertai maraton sedangkan saya tidak berlari selama 10 minit pun di atas ‘treadmill’.
“Saya bersyukur di atas semua sokongan dan sorakan semasa acara dan dalam talian. Walaupun saya benar-benar gementar dan penat setelah lima jam ‘bertarung’ di jalan kota New York, saya terus bertenaga (disebabkan sorakan penonton),” ulasnya lagi.
Dia sedar dirinya bukanlah seorang atlet profesional. Suka atau tidak, keinginannya untuk menyertai acara ini memerlukan dedikasi tinggi; walaupun Pia merupakan salah seorang wanita paling sibuk dengan pelbagai kerja, projek serta kemunculan sebagai seorang personaliti terkenal dunia.
“Selama ini, saya sudah terbiasa berkhidmat untuk orang lain dan kebanyakan keputusan hidup saya hanyalah berkisarkan kerjaya ataupun bagi menyenangkan orang lain.
“Kali ini, (keputusan untuk berlari) dalam maraton ini adalah bagi diri saya sendiri. Ini adalah cara saya menjaga diri saya dan kini, ia telah berjaya membuatkan saya merasa ‘recharged’ dan kembali bertenaga untuk berkhidmat untuk orang lain semula,” tambahnya lagi.
Kisah yang amat menginspirasikan! Walaupun sudah bergelar salah seorang wanita tercantik dan paling popular di dunia menerusi platform Miss Universe, Pia masih dahagakan cabaran agar dirinya terus mempunyai ‘purpose’ dan berkeinginan jitu.
ARTIKEL BERKAITAN: Mengapa Miss Universe Tukar Slogan ‘Confidently Beautiful’ Kepada ‘Beautifully Confident’? – REMAJA
Usah pernah mudah berpuas hati dengan kejayaan peribadi, okay gaiss.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.