
Bukan calang-calang peragawati yang terpilih untuk berjalan bagi sebuah jenama terkemuka di pentas antarabangsa. Semestinya mereka memiliki keunikan tersendiri dan juga dedikasi sebagai seorang peragawati berkaliber.
Terbaharu, anak jati Malaysia, Shikin Gomez telah terpilih sebagai salah seorang peragawati untuk berjalan di pentas runway Dior Pre-Fall 2023. Merupakan sebuah jenama mewah Perancis, Dior yang dikepalai Maria Grazia Chiuri telah memilih Gateway of India yang terletak di Mumbai sebagai lokasi.
Dalam tinjauan REMAJA ke ruangan Instagram peragawati tinggi lampai tersebut, dia berkongsi perasaannya usai memperagakan busana di pentas JENAMA hebat itu.
“Sejujurnya tiada kata dapat diungkapkan untuk meggambarkan Dior Pre-fall 2023. Terasa seperti kembali semula ke tempat asal permulaan kerana Mumbai merupakan bandar pertama yang saya ditempatkan selepas tamat Asia’s Next Top Model.
“Untuk ia berada di sini, untuk saya yang mewakili negara saya dan semua orang yang kelihatan seperti saya. Saya merasa rendah diri dan gembira menjadi sebahagian dari sejarah,” ujarnya mengimbau kembali kenangan.
BAGA JUGA: Azeem Fahmi Menang Emas Pertama Di Amerika Syarikat. Cemerlang Dalam Bidang Sukan & Pelajaran
Imbas kembali, Shikin atau nama sebenarnya Siti Nurfashikin Gomez memulakan kerjaya sebagai seorang peragawati di Malaysia dan bekerja dengan pelbagai jenama dan juga majalah. Dia kemudiannya menyertai Asia’s Next Top Model musim kelima dan berjaya berada di kedudukan top 3.
Sudah berkahwin pada Februari 2022 dengan jejaka pilihannya, Rami Aladdin, Shikin kini diwakili oleh pelbagai agensi peragaan di seluruh dunia dari Malaysia sehinggalah ke Indonesia, Jerman, Belanda, Sepanyol dan London.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Persalinan Khas Jovian Mandagie Buat Ibu Mertuanya Curi Tumpuan

Setelah mendapat tahu akan pelantikan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, sudah tentu tidak banyak masa yang tinggal untuk beliau dan isteri melakukan persediaan secukupnya bagi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Balai Singgahsana Kecil di Istana Negara, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Here comes Jovian Mandangie to the rescue.
Segak dalam persalinan baju Melayu hitam mengikut protokol kod pemakaian yang ditetapkan, tumpuan pemerhati fesyen lebih terarah kepada isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Bagi yang tidak begitu mengenali siapakah gerangan isteri Perdana Menteri kali ini, tidak mengapa. Korang tidak keseorangan. Ini kerana Datin Seri lebih gemar bersikap ‘low profile’ dan tidak kerap dapat dilihat dalam khalayak ramai.
Namun, itu tidak bermakna beliau tidak sentiasa berada di belakang sosok Perdana Menteri baharu Malaysia ini untuk memberi sokongan dan dorongan tidak terhingga.
Hari ini di Istana Negara, Datin Seri Muhaini tampak cukup manis dalam persalinan ungu pudar (lilac) yang dicipta khas oleh menantunya itu. Seperti biasa, Jovian juga dipertanggungjawabkan untuk menyediakan persalinan baju Melayu bagi bapa mertuanya.
Pastinya ramai yang terfikir, bagaimana Jovian mampu menyiapkan persalinan khas ini dalam masa semalaman saja?
Tidak banyak yang dikongsikan oleh Jovian berkenaan persalinan pasangan nombor satu Malaysia itu. Cuma kami tidak terkejut Jovian mampu melakukannya kerana beliau mempunyai pasukan pereka fesyen dan ateliar couture hebat.
Seperkara lagi, mungkin sekali persalinan Datin Seri Muhaini ini telah dilaksanakan lebih awal; mungkin sejak awal minggu ini selepas nama Datuk Seri Ismail Sabri disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri.
Menerusi hantaran Instagram Story, Jovian berkongsi sekeping foto persalinan Datin Seri Muhaini sedang disiapkan dengan sentuhan terakhir. Sekilas pandang, ia mempunyai perincian yang hampir sama dengan koleksi Lebaran 2019 Jovian Mandangie dengan penggunaan fabrik lace, manik, bunga-bungaan tiga dimensi dan batu kristal.

Manakala, foto beliau bersama ayah mertuanya juga menjadi topik perbualan. Kita tahu, hampir kesemua pakaian batik yang dipakai Datuk Seri Ismail Sabri semasa memberi pengumuman secara langsung di televisyen sepanjang bergelar Menteri Kanan Keselamatan Malaysia adalah hasil ciptaan pasukan Jovian.
Apapun, pasangan ini memang kelihatan sama cantik sama padan sempena tarikh yang cukup istimewa ini.
*
Dalam pada itu, REMAJA rasakan warga ungu pudar ini adalah warna yang semakin diminati dan in trend. Lihat sajalah busana yang disarungkan oleh pengantin baharu yang juga merupakan penyanyi terkenal Indonesia, Lesti Kejora.
ARTIKEL BERKAITAN : Cantik Betul Persalinan Serba ‘Lilac’ Lesti Kejora, Sopan Tapi Mewah! – REMAJA
Pakaian Syuhrah: Bahaya Fabrik Satin Dan Rekaan Berlebihan Bagi Muslimah

Isi Kandungan
TogglePada masa kini, jubah menjadi pilihan utama bagi wanita Muslimah yang menggemari pakaian yang labuh dan longgar. Selain itu, rekaan jubah yang menarik dan cantik juga menjadi keutamaan, membolehkan wanita memakainya kelihatan menawan dan trendy.
Pun begitu perlu hati-hati juga, meski menutup aurat tapi ada juga pakaian yang masih menonjol dan tidak sesuai dikenakan oleh muslimah. Antaranya fabrik satin, walau pun besar atau labuh namun fabrik yang berkilat ini juga nipis dan boleh menonjolkan anggota tubuh wanita.
Perkara ini diingatkan oleh Ummu Nailah yang terlibat dalam bidang seni jahitan khusus untuk Muslimah.

Muslimah, elakkan pakai fabrik satin walaupun berjubah bertudung labuh
Ujar beliau sebagai guru jahitan yang cuba memartabatkan pakaian syar’i dalam kalangan masyarakat, pakaian yang menggunakan material satin ini langsung tak sesuai dijadikan pakaian muslimah walaupun ia menutup aurat.
Ia ‘BOLEH’ dikategorikan pakaian SYUHRAH dan menampakkan BENTUK TUBUH. Bukan apa, ketika ini nampak trend french jilbab material satin yang dicetuskan oleh selebriti semakin menjadi ikutan muslimah.
𝗔pa itu pakaian syurah?
Dalam pada itu beliau turut berkongsi tentang makna syuhrah, jelasnya dalam hadis Nabi SAW melarang pakaian syuhrah. Asal perkataan syuhrah bermaksud yang menonjol atau yang jelas nampak atau tersebar. Dalam bahasa Melayu kita guna perkataan Arab ini sebagai masyhur bermaksud yang tertonjol atau yang tersebar.
Ungkapan pakaian (libas / tsaub ) syuhrah yang digunakan dalam hadis Nabi sallallahu alaihi wa sallam, di mana baginda bersabda:
مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ
“Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, Allah akan memakaikannya pada Hari Kiamat pakaian kehinaan”
Rujukan:
[Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud. Hadis hasan]
Pakaian syuhrah yang dimaksudkan dalam hadis ialah pakaian yang pelik bagi penduduk atau sesiapa yang berada di negeri atau tempat pakaian tersebut dipakai. Dalam erti kata lain pakaian yang menyalahi uruf setempat.
Ia akan membuatkan mata orang ramai tertumpu kagum atau rasa ganjil terhadap pemakai. Tujuannya agar mata orang ramai tertumpu padanya, merasakan diri istimewa samada di sudut kekayaan atau di sudut kewarakan beragama.

Inilah yang dihuraikan oleh para ulama seperti al-Imam asy-Syaukani (w 1250H)
-Fatwa Mufti Perlis, Dr.Maza
Ini teks asalnya:
ثَوْبًا يَشْتَهِرُ بِمَذَلَّتِهِ وَاحْتِقَارِهِ بَيْنَهُمْ عُقُوبَةً لَهُ، وَالْعُقُوبَةُ مِنْ جِنْسِ الْعَمَلِ انْتَهَى. وَيَدُلُّ عَلَى هَذَا التَّأْوِيلِ الزِّيَادَةُ الَّتِي زَادَهَا أَبُو دَاوُد مِنْ طَرِيقِ أَبِي عَوَانَةَ بِلَفْظِ: ” تَلْهَبُ فِيهِ النَّارُ ” وَالْحَدِيثُ يَدُلُّ عَلَى تَحْرِيمِ لُبْسِ ثَوْبِ الشُّهْرَةِ وَلَيْسَ هَذَا الْحَدِيثُ مُخْتَصًّا بِنَفِيسِ الثِّيَابِ، بَلْ قَدْ يَحْصُلُ ذَلِكَ لِمَنْ يَلْبَسُ ثَوْبًا يُخَالِفُ مَلْبُوسَ النَّاسِ مِنْ الْفُقَرَاءِ، لِيَرَاهُ النَّاسُ فَيَتَعَجَّبُوا مِنْ لُبْسِهِ وَيَعْتَقِدُوهُ، قَالَهُ ابْنُ رَسْلَانَ. وَإِذَا كَانَ اللُّبْسُ لِقَصْدِ الِاشْتِهَارِ فِي النَّاسِ فَلَا فَرْقَ بَيْنَ رَفِيعِ الثِّيَابِ وَوَضِيعِهَا وَالْمُوَافِقِ لِمَلْبُوسِ النَّاسِ وَالْمُخَالِفِ لِأَنَّ التَّحْرِيمَ يَدُورُ مَعَ الِاشْتِهَارِ، وَالْمُعْتَبَرُ الْقَصْدُ وَإِنْ لَمْ يُطَابِقْ الْوَاقِعَ
Rujukan:
[Kitab Nil al-Author karya Imam Asy-Syaukani, jilid 2 m/s 132]
Pakaian untuk meraih populariti
Pakaian syuhrah adalah pakaian yang dipakai untuk meraih populariti di tengah-tengah orang ramai, baik pakaian tersebut mahal, yang dipakai oleh seseorang untuk berbangga dengan dunia dan perhiasannya, mahupun pakaian yang bernilai rendah, yang dipakai oleh seseorang untuk menampakkan kezuhudan dan bertujuan untuk riya’.
Rujukan: [Jilbab al-Mar’atil Muslimah karya Al-Albani, hal. 213]
Illat (faktor) yang membawa kepada pengharamannya ada 2 di sini:
1.Niat untuk berbangga
Ini kita tak boleh putuskan sebab ia urusan antara seseorang itu dengan Allah
2.Pelik, ganjil & buat mata orang ramai tertumpu padanya
Jadi kita hukum sesuatu pakaian itu sama ada syuhrah atau tidak berdasarkan justifikasi illat yang kedua ini berdasarkan uruf setempat
Maka pendapat saya yang dhaif lagi hina ini, elakkan lah french Jilbab, jubah atau khimar yang menggunakan material satin, di samping ia menonjolkan bentuk yang tak sepatutnya disebabkan ia berkilau.
Wallahu A’lam
Sumber: Ummu Naielah
BACA LAGI :Penyokong Jepun Tular Di Piala Dunia 2022, Kutip Sampah Sampai Stadium Bersih!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Dari Melaka Bawa Nama Ke KL Fashion Week, Dua Beradik AkuDesign Jual Baju T Di Universiti Hingga Miliki Butik Sendiri

Isi Kandungan
ToggleSaban tahun musim KL Fashion Week (KLFW) menjengah, salah satu tumpuan acara tentunya adalah untuk mengetahui jenama baru manakah yang akan melakukan kemunculan debut mereka di pentas fesyen berprestij tempatan itu.
Buat edisi ke-12 pada tahun ini, slot tersebut diberikan kepada jenama fesyen streetwear yang berasal dari Melaka iaitu AkuDesign.
Tampil dengan koleksi Behind The Block, AkuDesign yang diasaskan oleh Amirel Amen Anuar (atau mesra dengan panggilan Kasu) bersama abangnya, Afiq Afify Anuar telah mengambil peluang untuk mempertontonkan identiti serta kreativiti jenama mereka itu dengan penuh bergaya.

Sebilangan besar helaian-helaian dalam koleksi khas Ogos/September ini terdiri daripada helaian asas yang boleh korang stailkan dengan koleksi sedia ada yang sudahpun korang miliki.
Apa yang menjadi titik istimewa Behind The Block pada pandangan penulis adalah the styling magic yang mencerminkan budaya jalanan, pendakian serta perkhemahan yang semakin diminati oleh kelompok remaja Malaysia.
BEHIND THE MALACCAN BLOCK
Di sebalik kejayaan untuk berada di pentas KLFW 2024, AkuDesign sebenarnya telahpun menantikan momen tersebut selama 15 tahun sejak penubuhannya pada tahun 2009 ketika Kasu & Afiq masih bergelar mahasiswa; masing-masing mengambil jurusan Juru Ukur Bahan (Quantity Surveyor) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan jurusan Seni Bina & Rekaan Alam Sekitar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.
“Sewaktu AkuDesign ditubuhkan, saya baru tamatkan SPM dan kami amat meminati sukan papan luncur dan budaya grafiti. Berlainan dengan zaman sekarang, pada tahun 2009 itu, sumber inspirasi kami hadir daripada majalah-majalah skate terbitan tempatan seperti Revolution.
“Selepas berpindah ke Melaka dari Kuching, Sarawak; saya dan Afiq terfikir untuk menubuhkan satu jenama streetwear untuk suka-suka dan memenuhi minat. Impian kami pada masa itu hanyalah untuk melihat ada orang memakai jenama kami di khalayak ramai.
“Kami pun tidak sedar apabila AkuDesign sudah memasuki ‘hari jadi’ pertamanya. Kemudian memasuki tahun kedua, macam dah dua tahun? Eh, dah lima tahun?
“Sehinggalah AkuDesign sudah berusia 15 tahun pada 2024, kami kekal sahaja dengan cara follow the flow. Perancangan berterusan itu tentulah ada here and there, namun kami selesa cuma menikmati perjalanan ini tanpa terlalu meletakkan tekanan serta harapan menggunung,” katanya ketika ditemui REMAJA di stor flagship AkuDesign yang terletak di Banda Hilir, Melaka.
Kongsi Kasu lagi, nama AkuDesign dipilih sewaktu zaman kegemilangan muzik indie dan budaya indie di Malaysia. Penggunaan Bahasa Melayu sememangnya menjadi satu kebanggaan kelompok tersebut dan mereka putuskan untuk memilih satu nama yang mewakili siapa diri mereka yang sebenar.
Maka, terhasillah AkuDesign. Bila melihat pelanggan mereka memakai helaian baju AkuDesign di luar, sekurangnya mereka boleh berkata, ‘Oh baju itu aku yang design‘.
“Tamat pengajian di UTM Skudai, saya mempunyai dua pilihan sama ada untuk membuka stor fizikal AkuDesign di Kilang Bateri, Johor Bahru atau di Melaka.
“Sebab utama kami memlih Melaka adalah kerana tarikannya sebagai pusat pelancongan and we will have people to come and go. Selain pelanggan lokal yang setia, ramai pelanggan kami juga berasal dari luar negara seperti Jepun dan China, so the plan worked.
“Sudah tentu, kami memang ada perancangan untuk membuka sebuah cawangan di Kuala Lumpur. Doa-doakan ia menjadi realiti,” katanya.
NASIHAT BUAT ANAK MUDA YANG TERINSPIRASI DENGAN AKUDESIGN
“Bagi saya, jika ada yang ingin menceburi bidang perniagaan seperti fesyen dan sebagainya, pertama sekali korang kena tanya pada diri sendiri, ‘Aku nak jadi apa sebenarnya?’.
“Kalau korang seperti saya yang bertukar haluan dari Quantity Surveyor kepada Fashion Business, tepuk dada dan tanyalah minat sendiri.
“Yang penting, jangan takut buat silap. Langgar sahaja, korang masih muda dan boleh belajar dari kesilapan. Yang penting, tidak menyesal di kemudian hari.”
KLIK pautan di bawah untuk menonton temubual penuh REMAJA bersama AkuDesign featuring Kasu.
FOTO: Instagram AkuDesign
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.