Setelah dua tahun Malaysia tidak menamakan pemenang Miss International Malaysia dek pandemik Covid-19, akhirnya pertandingan ini telah diadakan semula bagi edisi 2022 untuk menobatkan juara yang baharu.
Berlangsung pada 13 Mac di Sabah Oriental Hotel, Kota Kinabalu, pertandingan ini telah disertai oleh empat belas finalis yang datang dari seluruh Malaysia. Mereka terlebih dahulu telah tiba beberapa hari sebelum malam finale bagi melalui sesi induksi dan juga sesi soal jawab tertutup.
Pada malam finale, persembahan mereka dimulakan dengan sesi pengenalan dan setiap peserta menggayakan busana kostum nasional pilihan masing-masing. Kebanyakan mereka memilih penggayakan pakaian tradisional yang mewakili pelbagai kaum di Malaysia namun ada juga yang tampil unik dengan rendisi busana sendiri.
Dari 14 peserta, berdasarkan penilaian para juri, hanya enam peserta yang kemudiannya dipilih untuk ke peringkat yang seterusnya untuk melalui sesi soal jawab. Mereka yang berjaya menjadi enam finalis terbaik ialah Kimberly Li, Kash Bhuller, Wen Wei, Jean Kueh, Giselle Tay dan Adlyne Jayne.
Akhirnya, Giselle Tay telah dinobatkan sebagai juara manakala Kash Bhuller dan Jean Kueh masing-masing berpuas hati berada di tempat kedua dan ketiga. Giselle telah dimahkotakan oleh Miss International Malaysia 2019, Charmaine Chew.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.