Kalau hendak diikutkan dengan peredaran zaman kini, memang banyak haiwan peliharaan menjadi popular dengan memiliki akaun Instagram sendiri. Pastinya pemilik mereka adalah ‘mastermind’ di sebalik akaun itu.
Berbeza dengan kucing yang seekor ini, Gli, yang popular dek kecomelannya dan merupakan residen tetap bangunan bersejarah di dunia, Hagia Sophia yang terletak di Turki.
Meski pun tidak bertuan namun Gli cukup popular media sosial, kucing tidak bertuan ini popular di kalangan pelancong asing dan tempatan yang tidak melepaskan peluang bergambar dengannya. Namun kini kelibatnya tiada lagi.
Mati pada usia 16 tahun kerana tua, kehilangan Gli pasti menjadi kesedihan dan kenangan buat semua penduduk serta pelancing yang pernah mengunjungi Hagia Sophia sementelah lokasi itu kini telah dibuka untuk tujuan menunaikan solat bagi umat Islam.
Berita kematian kucing ikonik Turki ini disampaikan sendiri oleh gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya menerusi kicauan di laman Twitter beliau. Menurutnya di dalam kicauan itu, “Kucing Hagia Sophia, Gli yang telah dirawat di klinik veterinar daerah Levent sejak 24 September lalu mati kerana usianya yang tua. Kami tidak akan pernah melupakanmu Gli.”
Seperti yang kita tahu, Istanbul adalah antara bandar yang sangat mesra haiwan terutamanya kucing dan juga anjing. Setiap haiwan yang tidak bertuan dijaga dengan baik bahkan mereka menerima rawatan dari semasa ke semasa oleh jabatan veterinar.
Sumber : Twitter Ali Yerlikaya