Filem yang dinanti-nantikan akhirnya bakal menemui penonton tidak lama lagi. Sudah beberapa kali ditunda tayangannya, Godzilla vs Kong kini sudah boleh ditonton di pawagam seluruh negara.
Sebelum ini, filem terakhir yang bertemakan raksasa terbitan studio perfileman Legendary adalah Godzilla: King of The Monster yang ditayangkan pada Mei 2019. Namun, filem tersebut hanya berjaya mencatatkan kutipan sebanyak USD385.9 juta berbanding kos pembikinan yang dianggarkan mencecah USD200 juta.
Bagaimana pula dengan filem sekuel Gozilla vs Kong ini pula? Mungkin ia mempunyai kelebihan kerana penonton sudah lama tidak disajikan dengan kehadiran filem-filem baru yang menarik akibat pandemik COVID-19.
Godzilla vs Kong menceritakan tentang kehadiran semula Godzilla di bumi akibat provokasi yang telah dilakukan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Kehadiran Godzilla dan King Kong membawa pertempuran diantara dua ‘gergasi’ yang menyerang penduduk bumi.
Filem ini diarahkan oleh Adam Wingard ini diberikan Titans alpha baru sebagai pencabar baru ketika Godzilla menentang Kong. Pertambahan titan baru ini merumitkan lagi pertempuran antara mereka dan ia melibatkan sebahagian daripada Mechagodzilla.
Boleh dikatakan sekuel kali ini lebih menarik kerana penuh dengan aksi di antara pertempuran titans. Kami juga berpeluang menonton di pawagam IMAX, sudah tentu ia lebih memberikan kesan bunyi yang terbaik sekali gus menjadikan filem ini menarik untuk ditonton.
Godzilla vs Kong sarat dengan aksi dan kesan CGI yang sangat baik sehingga menjadikan filem ini antara filem sains fiksyen yang unik. Kalau tonton filem raksasa seperti ini pastinya penonton mahukan scene pertempuran yang hebat bukan?
Jadi, tidak rugi sekiranya korang meluangkan masa untuk menonton Godzilla vs Kong kerana disamping menonton jalan cerita dan aksi pertempuran dua ‘gergasi’ hebat ini, secara tidak langsung ia dapat melepaskan kerinduan terhadap aktiviti menonton wayang yang rasanya sudah lama tidak dilakukan sejak pandemik COVID-19. Kalau pawagam dibuka pun tapi tak ada filem menarik. Betul tak?
Godzilla vs Kong akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 25 Mac 2021. Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem sekuel ini kerana banyak aksi menarik yang bakal menghiburkan korang.
Selamat menonton!