Seperti yang hangat diperkatakan oleh warganet mengenai kes beberapa individu terpilih yang seakan-akan ‘imun’ daripada sekatan rentas negeri, tentunya semua orang tertanya-tanya apakah kumpulan individu ini bebas untuk ke mana-mana saja disebabkan oleh status, kuasa mahupun populariti yang mereka miliki?
Justeru, peluang sidang media khas bersama Datuk Seri Ismail Sabri pada sebelah petang tadi telah diambil oleh media untuk bertanyakan sekiranya ada pengecualian yang diberikan oleh pihak MKN mahupun pihak berkuasa sendiri hingga mengakibatkan stigma ‘double standard’?
Tentunya, kita sendiri enggan mendengar lagi perkhabaran mengenai individu terkenal mahupun individu kenamaan digolongkan sebagai ‘manusia kayangan’ yang bebas merentas negeri tanpa alasan munasabah.
Jelas beliau, kuasa menahan sesiapa yang merentas negeri terlepak kepada pihak polis di sekatan jalan raya.
“Saya percaya tiada pengecualian dari segi soal rentas negeri kecuali beberapa perkara seperti kematian, sakit kritikal nazak dan kerja. Tapi ini juga kena ada kebenaran polis sebelum mereka merentas negeri.
“Yang lain-lain, kuasa tetap pada pihak polis. Isi borang dan mohon kebenaran daripada polis.
“Tapi saya difahamkan, kadang kadang (kerana sukar mempercayai) kesahihan (alasan) itu membuatkan pihak polis tidak membenarkan (merentas negeri).
“Untuk hujung minggu saja, permohonan merentas negeri boleh mencecah hingga 40,000 setiap hari.”
“Kadangkala pihak polis kurang yakin dengan alasan yang diberikan.
“Bagaimanapun, seperti yang saya katakan tadi, kuasa kita telah berikan kepada pihak polis sama ada untuk membenarkan atau tidak,” kata beliau.
Terdahulu, berbagai-bagai pihak telahpun ditahan atau dikompaun akibat merentas negeri. Begitupun, warganet berang apabila ada ‘individu kayangan’ yang bebas merentas tanpa dikenakan sebarang tindakan.