Sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula pada awal Oktober depan, remaja berusia 18 tahun ke bawah sudah pun mula menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi persediaan mengawal penularan wabak itu.
Sarawak antara negeri yang memulakan pemberian vaksin kepada remaja bawah 18 tahun kerana sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasa divaksin.
BACA: Remaja Bawah 18 Tahun Divaksin Minggu Hadapan, Bermula Dengan Sarawak
Terbaharu, pemberian vaksin untuk remaja (PICK-Remaja) secara walk-in akan bermula esok (23 September 2021) di 156 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara melibatkan semua kategori remaja termasuk yang tidak bersekolah.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pemberian vaksin itu mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti.
Kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia
PICK-Remaja secara walk-in berjadual akan bermula Khamis, 23 Sept di 156 PPV seluruh negara.
Vaksinasi secara walk-in melibatkan semua remaja termasuk remaja yang tidak bersekolah.
Kenyataan penuh YB Dato’ @DrNoorAzmi pic.twitter.com/0DYuMCLIVR
— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) September 21, 2021
Remaja yang tidak bersekolah dibenarkan walk-in di PPV yang berdekatan dengan tempat tinggal dan jadual pemberian vaksin akan dikeluarkan pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa.
Bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah pula, mereka perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV Awam atau Integrasi.
Sementara itu, penuntut di IPTA dan IPTS yang berumur bawah 18 tahun dibenarkan walk-in ke semua PPV yang masih beroperasi pada ketika ini dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPT.
Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka.
Setakat ini, seramai 308,186 remaja telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak (88,473); Kedah (19,453); Kelantan (17,413); Johor (16,019) dan Labuan seramai 2,523.
Sumber: (1)