Google Gantung Operasi Dengan Huawei (Dan Honor), Apa Implikasi Pada Pengguna?

Share

 

Huawei users, you have our sympathy..

 

Sekali lagi, ketegangan politik di antara dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China menjadi punca kepada masalah berjuta-juta pengguna.

Apa yang berlaku sebenarnya?

Rabu lalu, Amerika Syarikat melalui Jabatan Pedagangan negara itu (U.S Commerce Department) telah meletakkan jenama telefon pintar dari China, Huawei dan 68 lagi jenama lain seluruh dunia ke dalam senarai hitam perdagangan mereka yang dipanggil ‘Entity List’. Ini berikutan pesanan eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Lalu, Google secara tak langsung terpaksa menggantung operasi perniagaan bersama Huawei dan Honor (anak syarikat Huawei) dengan serta-merta kerana mereka tak dibenarkan mempunyai apa-apa perhubungan perdagangan dengan 2 jenama tersebut buat masa ini.

Implikasi Terhadap Pengguna

Bagi orang ramai yang mengikuti kes ini, kebanyakannya memihak kepada Huawei dan berpendapat bahawa China mampu untuk membina perantinya sendiri – mungkin lebih baik daripada yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat. Mereka mempunyai sumber, mereka mempunyai wang.

Namun bagi berjuta-juta pengguna telefon pintar Huawei dan Honor, tindakan ini memberikan kesan dramatik kepada mereka. Bagi pengguna sedia ada, mereka MASIH boleh mengakses carian Google, Google Maps, Play Store, GMail dan sebagainya. Namun kini mereka tidak lagi boleh memperbaharui (update) kesemua aplikasi itu ke versi seterusnya. Dalam tempoh kurang 2 tahun, mereka tidak lagi boleh menggunakannya setelah versi yang lama tidak relevan lagi.

Kenyataan rasmi Android berhubung isu ini.

Bagi kesemua bakal pembeli telefon pintar Huawei dan Honor pula, telefon mereka tidak lagi akan dikemas kini dengan keselamatan Android dan kesemua akses kepada aplikasi yang disebutkan tadi juga tiada.

Ini termasuklah model telefon yang baru dilancarkan seperti P30, P30 Pro dan Mate 20 Pro. Nasib model telefon Honor 20 yang dijadualkan akan dilancar pada 21 Mei ini di London juga kini samar.

Bagi pihak Huawei dan Honor pula sebagai syarikat pengeluar, mereka kini dilarang daripada membeli komponen cip, bahagian telefon pintar dan teknologi baru daripada syarikat Amerika Syarikat tanpa kelulusan kerajaan, termasuklah Android.

Honor 20 yang akan dilancarkan secara rasmi esok.

Okay, they ARE serious about this.

Sebelum ini, timbul teori konspirasi yang mengatakan kerajaan Amerika Syarikat mengsuspek peranti telefon pintar Huawei digunakan oleh kerajaan China untuk mengintip maklumat data penggunanya di negara Uncle Sam itu.

Ada juga yang berpendapat Amerika Syarikat enggan membiarkan China menerajui sektor telekomunikasi dan muncul dengan teknologi 5G sebelum mereka. Ini kerana mereka tidak mahu tunduk kepada China jika mereka sendiri tak mampu memperkenalkan teknologi itu terlebih dahulu.

Ini bukanlah kali pertama Amerika Syarikat menggantung operasi perniagaannya dengan jenama luar. Pada tahun 2018, jenama telefon pintar ZTE juga termasuk dalam Entity List tersebut dan mengakibatkan masalah besar kepada penggunanya.

Bersabarlah korang..

REMAJA percaya China tak akan berdiam diri dan membiarkan syarikat Huawei serta Honor hancur begitu saja. Pasti akan ada tindakan susulan daripada keputusan ini demi penggunanya.

 

Published by
FZ