Tersenarai antara chef terbaik di dunia, Gordon Ramsay kini mempunyai 35 buah restoran di seluruh pelosok dunia.
ARTIKEL BERKAITAN : Chef Asal Pulau Pinang Tonggak Di Sebalik Restoran 1 Bintang Michelin Di Singapura
Lelaki yang handal di dapur ini dan bergelar chef selebriti tersohor ini dengan karakternya yang garang, tegas dan perfectionist.
Anak kelahiran Scotland ini juga selalu muncul dalam program TV antara yang popular ialah Kitchen Nightmares, Hell’s Kitchen, MasterChef, dan The F Word.
Sepanjang kariernya, lelaki berusia 56 tahun ini telah memenangi berpuluh-puluh bintang Michelin sehingga layak digelar antara chef terbaik dunia.
Celebrity Net Worth mendedahkan kekayaan Ramsay kini melebihi 220 juta Dolar AS, sementara gaji tahunannya pula lebih AS$60 juta! Bukan saja jutawan, Ramsay juga chef kedua terkaya di dunia selepas Jamie Oliver.
Berikut 5 info menarik mengenai Chef Gordon Ramsay: –
GAGAL JADI PEMAIN BOLA SEPAK
Ramsay pernah menetap di England pada usia lima tahun, membesar di sana dan pernah berimpian untuk menjadi pemain bola sepak.
Rupa-rupanya sejak kecil lagi Ramsay sudah ‘jatuh cinta’ dengan dunia bola sepak sehinggalah dia mendaftar di sebuah kelab bola sepak terkenal di bandar tempatnya tinggal antaranya Oxford United, Glasgow Rangers dan Warwickshire.
Suatu hari Ramsay mengalami kecederaan kaki yang serius. Akibatnya, Ramsay terpaksa menguburkan impiannya untuk bergelar atlet bola sepak.
DARI PENGURUSAN HOTEL KE INDUSTRI MAKANAN
Selepas tamat belajar dalam bidang pengurusan hotel, Ramsay menceburi bidang kulinari. Pada tahun 1987, Ramsay berjaya memperoleh ijazah dalam bidang tersebut.
Dari situ, Ramsay menimba pengalaman bekerja di Wickham Arms termasuk Hotel Wroxton House. Ramsay kemudiannya berpindah ke London dan bekerja di beberapa restoran tempatan.
Selama tiga tahun, dia bekerja di Harvey di bawah pengawasan chef terkenal Marco Pierre White. Ramsay juga belajar masakan Perancis dan bekerja di Le Gavroche di Mayfair.
Ramsay kemudiannya ke Paris dan bekerja di bawah bimbingan Guy Savoy serta Joel Robuchon. Ketika berusia 27 tahun Ramsay kembali ke England.
Setelah bergelar ketua chef di Aubergine, dua tahun kemudian Ramsay meraih penghargaan dari Catey Awards sebagai Newcomer of the Year.
MILIKI PULUHAN RESTORAN EKSKLUSIF
Bermula dengana masalah kewangan yang dialaminya ketika di Aubergine, tercetusnya idea untuk Ramsay membuka restoran sendiri di London pada 1998.
Tiga tahun kemudian, Ramsay memperoleh 3 bintang dari Michelin Guide. Sejak itu, Ramsay mengasaskan banyak restoran walaupun ada di antaranya terpaksa diberhentikan atas pelbagai faktor.
Ramsay memiliki lebih 35 restoran di seluruh dunia. Di London sahaja, terdapat lebih 15 restoran. Seterusnya ialah di seluruh Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, Asia dan Timur Tengah.
‘GARANG’ TAPI PEMURAH
Kejayaan, populariti dan kekayaan tidak menjadikan Ramsay hilang jiwa sosialnya. Di sebalik sosoknya yang tegas dan garang sebagai seorang chef, Ramsay sebenarnya seorang yang peramah dan penyayang.
Bersama isterinya, Ramsay menubuhkan yayasan amal bagi menyokong pembiayaan hospital kanak-kanak.
BINTANG RANCANGAN TV
Pertengahan 2005, nama Ramsay melonjak naik selepas menjadi juri America Hell’s Kitchen di FOX. Popularitinya terus melonjak apabila menjadi ketua juri dalam program MasterChef.
Ramsay semakin disegani kerana pengaruhnya yang besar terhadap budaya popular British. Dengan gaya masakan Inggeris, Perancis dan Itali sebagai tunjang utamanya, Ramsay menulis berpuluh-puluh buah buku.
Bapa lima anak ini turut muncul dalam rancangan MasterChef Junior.
Kesimpulannya, setiap orang di dunia ada impian untuk berjaya dalam hidup. Namun jangan pernah mengalah dengan bila sekali korang gagal. Seperti kisah ini, walaupun gagal bergelar pemain bola sepak namun Ramsay kini berjaya sebagai seorang chef terkemuda dan jutawan. Belajarlah dari kegagalan untuk kita melakar kejayaan yang lebih baik pada masa depan.
BACA LAGI : Anak Kelahiran Malaysia Muncul Juara Dalam MasterChef’s Champion of Champions UK
Artikel ini diambil dan diolah dari NONA.
***
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit Foto: Instagram Gordon Ramsay