Inpirasi

Gorgeous! Mahasiswi TESL Fasih 4 Bahasa, Taanusiya Chetty Dimahkotakan Miss World Malaysia 2024

Share

Mahasiswi jurusan Sarjana Muda Pendidikan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Taanusiya Chetty dari Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2024 dalam acara kemuncak yang berlangsung di Sabah, malam tadi.

Taanusiya, 23 yang mesra dengan panggilan Taanu mengepikan saingan naib juara, Kelly Eleanor Tseu untuk dimahkotakan oleh Miss World Malaysia 2023, Saroop Roshi. Justeru, Taanusiya dijadualkan mewakili negara ke pertandingan Miss World edisi ke-73 pada tahun 2026.

Taanusiya Chetty kelihatan jelita dalam persalinan rekaan Freda Creation pada malam kemuncak semalam.

Selain daripada gelaran tersebut, Taanusiya juga melangkah cemerlang apabila turut diumumkan sebagai pemenang tujuh anugerah tambahan termasuklah Top Model Award, Lavisha Ambassador, Miss Ayu Borneo Award, Cape Rhino Ambassador, Charity Queen Award, Best in Evening Gown dan Miss LYC.

Ketika segmen soal jawab, Taanusiya diajukan soalan mengenai isu sosial yang ingin dibentangkan olehnya kepada pemimpin dunia dan apa yang perlu dilakukan mengenai isu tersebut. Berikut merupakan jawapan yang menentukan kemenangan Taanusiya:

“Sebagai seseorang yang ingin bergelar guru, saya rasa kita perlu fokus kepada kehidupan kanak-kanak kerana mereka merupakan masa hadapan kita.

“Sekiranya saya berpeluang untuk bercakap dengan pemimpin dunia, saya akan menggunakan platform saya terutamanya projek Beauty With A Purpose saya untuk mengangkat isu melibatkan kanak-kanak kerana mereka membesar dengan berdepan pelbagai kepayahan.

“Mereka cenderung membandingkan diri mereka dengan apa yang mereka lihat di media sosial. Ini adalah salah satu isu sosial yang perlu kita bincangkan. Saya ingin memberi tumpuan kepada tiga prinsip teras iaitu untuk mendengar, untuk mendidik dan untuk mendekati, saya ingin menggunakan peluang ini sebagai Miss World Malaysia anda”, katanya.

Menyusuri latar belakang model berketinggian 173cm ini, Taanusiya berdepan episod duka pada usia 14 tahun setelah kehilangan ibu tercinta. Namun berkat kasih sayang keluarga, dia terus positif meneruskan kehidupan dan mengejar minatnya dalam bidang pendidikan bahasa.

Tidak hairanlah apabila Taanusiya fasih dalam empat bahasa berbeza termasuklah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Taanusiya terlebih dahulu menapak dalam dunia ratu cantik menerusi penyertaannya dalam pertandingan Miss Global 2023 dan menempatkan diri dalam kalangan 17 ratu tercantik dari seluruh dunia.

Kemenangan Taanusiya semalam turut diraikan oleh ratu-ratu cantik Malaysia. Menerusi ruangan komen di platform Instagram, antara yang mengucapkan tahniah kepada gadis ini termasuklah Sandra Lim (Miss Universe Malaysia 2024), Dr Prasana Shri (Miss Eco International Malaysia 2022), Ashlyn Ooi (Miss International Malaysia 2024) dan Rashmita Rasindran (Miss Charm Malaysia 2024).

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ