Jurusan Perakaunan di peringkat pengajian tertiari menerusi akreditasi Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun atau ACCA semakin hari semakin semakin popular dalam kalangan pelajar Malaysia.
Dunia kini kian bergerak dengan pantas dengan pemodenan teknologi. Begitupun selari dengannya juga, graduan di mana-mana negara kini ‘diancam’ ketidakpastian mengenai masa hadapan bidang kerjaya mereka apabila isu pengangguran akibat gagal memperolehi pekerjaan tidak menunjukkan tanda-tanda akan selesai dengan segera.
Untuk memastikan seseorang graduan seperti kamu sentiasa relevan kepada pasaran kerjaya kelak, adalah penting untuk kamu memilih bidang pengajian yang melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran terutamanya kemahiran teknikal dan pengetahuan bagi menjamin peluang kerjaya yang cerah. Antara bidang yang diakui sentiasa menyediakan peluang pekerjaan adalah bidang perakaunan menerusi kelayakan ACCA.
ARTIKEL BERKAITAN : Tahniah! Pelajar UiTM Cawangan Perak Catat Markah Peperiksaan Kedua Tertinggi Di Dunia
Kenapa Perakaunan?
Baru-baru ini, REMAJA berpeluang menemuduga seorang akauntan bertauliah yang juga merupakan Pengerusi Rangkaian Ahli Muda ACCA (Young Members Network), Fauziah Khan.
Lebih mesra dengan panggilan Fazy, beliau kini mempunyai lebih daripada 9 tahun pengalaman bekerja dalam pelbagai bentuk peranan di mana beliau memulakan perjalanan kerjayanya sebagai seorang juruaudit luar di sebuah firma perakaunan, BDO.
Kongsi Fazy, dia kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengurus dalam Perkhidmatan Kewangan Kumpulan KPJ Healthcare Berhad sebuah syarikat senaraian awam (PLC) khusus dalam menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Sebelum itu, Fazy pernah berkhidmat di Jabatan Amalan Profesional dan Teknikal MIA selama 3.5 tahun dan menyelia pelaksanaan piawaian audit dan perakaunan di Malaysia. Bukan itu sahaja, Fazy juga menguruskan Lembaga Piawaian Audit dan Jaminan (AASB) dan Jawatankuasa Pelaksanaan Teknologi Digital (DTIC) ketika berperanan sebagai penolong pengurus di MIA.
Menurut Fazy Khan, semua sektor di Malaysia sekarang memerlukan kepakaran seorang akauntan tidak kiralah sama ada sesebuah syarikat itu berskala kecil mahupun bertaraf multinasional.
Antara tugas penting akauntan adalah memastikan perancangan kewangan organisasi dilaksanakan dengan baik seperti merancang laporan ramalan keuntungan & perbelanjaan syarikat, mengurus dan menganalisis rekod kewangan, pemantauan perbelanjaan kewangan, menyediakan laporan, dan memberikan nasihat kepada pihak atasan, pelanggan atau pemegang saham. Akauntan memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan kewangan dan kejayaan perniagaan, organisasi, dan individu.
Kongsinya kepada REMAJA lagi, bermacam-macam kelebihan lain apabila mengambil ACCA juga menanti graduan:
- Pilihan kerjaya yang sangat fleksibel: Hanya dengan bidang perakaunan, kamu berpeluang untuk terokai bidang lain seperti, perakaunan forensik, pengauditan, percukaian, pengurusan kewangan dan lain-lain lagi. Bahkan, jika berminat untuk menceburi bidang keusahawanan, ilmu perakaunan dapat membantu kamu menguruskan hal ehwal kewangan perniagaan dengan baik seterusnya menjamin kelangsungan perniagaan yang dijalankan.
- Kemajuan pantas dalam kerjaya: Dengan kemahiran dan pengalaman profesional yang baik, kemajuan kerjaya anda akan bergerak pantas. Anda boleh menjawat jawatan penting seperti penganalisis belanjawan, juruaudit, akauntan percukaian, perolehan atau pegawai kewangan korporat yang menawarkan imbuhan tinggi dan faedah yang lebih banyak.
- Boleh bekerja dalam mana-mana sektor industri atau perniagaan: Anda boleh memilih untuk bekerja dalam mana-mana sektor pekerjaan yang diinginkan. Tidak kira sama ada anda memilih untuk bekerja di firma perakaunan besar atau di syarikat kecil, kelayakan dan kemahiran perakaunan yang diperlukan adalah sama untuk semua industri seperti industri penjagaan kesihatan, FMCG, minyak dan gas, kecantikan, makanan dan minuman, serta peruncitan dan sebagainya.
- Peluang kerjaya di dalam dan luar negara lebih luas: Profesion ini melengkapkan anda dengan kemahiran kewangan, perniagaan dan digital yang relevan sehingga ke peringkat global. Ia pada asasnya adalah kelayakan antarabangsa yang berfungsi di mana-mana negara yang anda pilih untuk bekerja.
- Peranan yang pelbagai: Akauntan memiliki kemahiran organisasi, analitikal dan teknikal melangkaui bidang perakaunan itu sendiri. Daripada pakar undang-undang dalam kewangan kepada penulis teks perakaunan; dengan kelayakan profesional yang dimiliki, kamu bebas untuk meneroka pelbagai bidang kerjaya yang diminati.
Masa Depan Perakaunan
Teknologi kecerdasan buatan atau Artificial intelligence (AI) diakui semakin popular pada era ini. AI mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan kerja-kerja yang bersifat kompleks dan kerja yang sifatnya berulang-ulang.
Hasilnya, ramai graduan yang mengeluh dan menunding jari terhadap AI yang bagi mereka memberi impak negatif. Iyalah, keperluan tenaga manusia kini boleh digantikan dengan kecanggihan AI dalam mencipta produk dan perkhidmatan baharu, membawa pasaran baharu, meningkatkan produktivitI, menjimatkan masa dan tenaga manusia.
Namun begitu, Fazy memberi jaminan kepada pelajar yang memilih jurusan ACCA ini untuk tidak perlu bimbang sekiranya teknologi AI tidak mampu menggugat profesion sebagai akuantan. Hal ini kerana jurusan ACCA ini sentiasa keep up to date dalam elemen digital. Selain itu, kerjaya sebagai akauntan juga memerlukan pengalaman dan judgement call yang tiada pada robot AI.
Menurutnya lagi, tidak lengkap sekiranya pelajar yang bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan tidak mempunyai kelayakan akauntan bertauliah daripada ACCA.
Kamu boleh memperolehi kelayakan akauntan bertauliah ACCA dalam tempoh hanya empat tahun sahaja tanpa memerlukan ijazah perakaunan. Caranya adalah dengan mendaftar kursus di bawah ACCA seterusnya memperolehi kelayakan setaraf bahkan lebih baik daripada ijazah perakaunan.
ACCA menawarkan pilihan modul profesional yang komprehensif yang dibangunkan oleh pemimpin pelbagai industri untuk memastikan ia sentiasa relevan dalam pasaran kerja serta diiktiraf di seluruh dunia.
Bina Kerjaya Dengan ACCA
ACCA juga menyokong pelajar dan ahli mereka melalui pembelajaran dan pembangunan yang komprehensif seperti:
- ACCA Career Navigator untuk membantu merangka laluan kerjaya mereka, yang menjadi panduan untuk menerangkan tentang kemahiran baharu yang perlu diperolehi, meneroka destinasi dan peluang kerjaya serta bidang-bidang di mana mereka boleh memperkembangkan bakat mereka
- ACCA Careers, tapak keboleh pasaran global yang menghubungkan ahli ACCA dengan bakal majikan.
- webinar dan laporan Professional Insights untuk memastikan profesional perakaunan dan kewangan dimaklumkan tentang trend tempatan, serantau dan global
- dan juga, Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) berterusan untuk peningkatan kemahiran
Jadi, tidak hairanlah jika graduan ACCA berjaya menarik perhatian majikan di dalam dan luar negara. Jangan lepaskan peluang keemasan ini dan mengejar kerjaya impian anda dengan mengikuti pengajian ACCA secara mod fleksibel. Untuk info lanjut tentang ACCA, lawati laman web www.accaglobal.com.