Berita

Graduan Autisme Buktikan Kecemerlangan Akademik, Berjaya Genggam Ijazah Di UPM. Tahniah!

Share

Dilahirkan dengan autisme, Chew Sheng Yan membuktikan bahawa kekurangan tidak menjadi penghalang untuk meraih kejayaan.

Sheng Tan telah berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Kayu dengan Kepujian dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam Majlis Konvokesyen kali ke-48 yang berlangsung baru-baru ini.

Sebagai anak bongsu daripada dua adik-beradik, Chew tidak malu untuk mengakui bahawa perjalanan pendidikannya selama empat tahun di UPM penuh dengan cabaran. Walaupun menghadapi kesukaran dalam memahami beberapa konsep yang diajarkan oleh pensyarah, beliau tidak membiarkan perkara itu menghalang cita-citanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Jaga Ibu Terlantar Di Hospital Raih Perhatian, Ujian Hidup Bukan Alasan Culas Belajar

Sebaliknya, graduan yang berasal dari Melaka ini memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk bertemu pensyarah dan bertanyakan soalan bagi memahami dengan lebih mendalam.

“Cabaran saya adalah tidak dapat memahami beberapa konsep yang telah diberikan oleh pensyarah. Saya memerlukan lebih masa untuk membuat ulang kaji dan bertanya kepada pensyarah di luar waktu kuliah,” katanya.

Selain itu, dia juga tidak malu untuk meminta bantuan daripada rakan-rakan, dengan menjelaskan bahawa mereka sering belajar bersama-sama sebelum menghadapi ujian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Bapa & Kecekalan Ibu Jadi Inspirasi Graduan USM Ini Untuk Raih Anugerah Pelajaran Diraja. Tahniah!

Kejayaan Chew juga tidak lepas daripada sokongan padu daripada ahli keluarga, rakan-rakan, dan pensyarah yang sentiasa memberikan bantuan tanpa henti untuk memastikan beliau memahami setiap kuliah yang diberikan.

“Saya bersyukur kepada Tuhan, ahli keluarga, pensyarah dan UPM termasuk rakan-rakan saya kerana mereka mempunyai peranan masing-masing dalam menyokong dan membantu saya,” tambah Chew dengan penuh kesyukuran.

Chew, yang disahkan menghidap autisme sejak berusia lebih kurang dua tahun, mendapat galakan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains dan Teknologi Kayu daripada salah seorang kaunselornya.

“Teruskan berusaha sebaik mungkin, jangan berputus asa dan jangan biarkan kata-kata negatif pengaruh hidup anda,” katanya dengan semangat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Malaysia Gazette

Published by
Fath