Berita

Graduan Ini ‘Hadiahkan’ Anugerah Pelajaran Diraja Buat Ibu Bapa, Tekad Mahu Ubah Nasib Keluarga. Tahniah!

Share

Memiliki ibu bapa yang buta huruf bukanlah halangan bagi Norimrana Mujahid Ali untuk mengejar kejayaan. Sebaliknya, ia menjadi pendorong utama baginya untuk berusaha gigih dalam merubah nasib keluarganya.

Norimrana, penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-16, berkongsi bahawa ibu bapanya tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah disebabkan pelbagai kekangan, termasuk kesusahan hidup yang mereka alami. Keadaan itu memberi kesan mendalam buat Norimrana yang mahu mengubah kehidupan keluarganya melalui pendidikan.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 Beradik Terima Skrol Diploma Pasca Siswazah Serentak di Majlis Konvokesyen UniSZA. Tahniah!

Sumber: Trdi.my

“Saya mahu buktikan walaupun ibu bapa tidak mendapat pendidikan di sekolah, anak-anak masih boleh berjaya dengan cemerlang,” ujar Norimrana, penuh semangat.

Sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Norimrana telah menanam tekad sejak awal untuk meraih anugerah tertinggi universiti sebagai hadiah kepada kedua ibu bapanya yang banyak berkorban demi masa depan anak-anak mereka.

“Saya juga mahu balas jasa mereka yang membesarkan saya serta empat adik-beradik dengan penuh kepayahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Pemandu Forklift Raih Kecemerlangan Di Istiadat Konvokesyen UniMAP, Syukur Kini Dapat Bantu Ringankan Beban Keluarga

Sumber: Sinar Harian

“Semasa kecil ibu bersendirian menjaga kami di Tumpat, Kelantan kerana bapa bekerja sebagai peniaga jalanan di Kuala Lumpur,” katanya, mengenang kembali cabaran yang dilalui keluarganya.

Kejayaan Norimrana ini tidak dicapai dengan mudah. Sepanjang empat tahun pengajian di UniSZA, graduan berusia 24 tahun ini terpaksa mengorbankan banyak perkara. Walaupun jarak antara Terengganu dan Tumpat tidak terlalu jauh, Norimrana jarang pulang ke kampung, apatah lagi pada cuti semester.

“Cuti semester pun saya akan ikut program UniSZA hingga ke Indonesia demi tekad mendapatkan anugerah ini. Walaupun letih dan terpaksa menanggung rindu terutama kepada ibu, saya tetap teruskan demi membanggakan orang tua,” tambahnya.

Sumber: Awani

Kini, sebagai seorang pekerja di sebuah firma perakaunan terkemuka, Norimrana membuktikan bahawa dengan usaha yang gigih, kejayaan pasti akan datang.

Tidak hanya sekadar meraih anugerah, dia juga berjaya membanggakan ibu bapanya yang telah banyak berkorban untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Bernama.

Published by
Fath