Mungkin ramai merasakan nak pandai, nak senang mesti belajar sungguh-sungguh. Itulah yang selalu dipesan oleh mak ayah pada anak-anak dari dulu sampai sekarang. Ya, masuk universiti itu bonus. Apa yang dipelajari di universiti itu adalah satu proses kematangan dan selebihnya kematangan berfikir adalah penentu kejayaan individu.
Kalau dulu, ada ijazah ramai yang salute tapi hari ini, graduan yang berpengalaman lebih diperlukan oleh pihak majikan.
Kalau terus nak makan gaji mungkin sampai bila pun tak akan hidup senang. Inilah yang dibuktikan oleh seorang graduan dari Mindanao State Collage, Filipina dalam bidang perguruan, Gaira atau senang dipanggil Indah yang memilih menjadi tukang jahit sepenuh masa sejak 3 tahun lalu.
“Sebulan, saya boleh untung RM15K, kalau bulan puasa, keuntungan cecah RM20,000 dan lebih,” katanya ketika ditemui di Handmade Market sempena Sewing Week yang diadakan di Sewing World Gallery, Sky Park One City USJ.
Sepanjang empat hari, bermula dari Khamis hingga Ahad ini, sebanyak 105 booth kesemua barangan dijahit sendiri (home made market) sebahagian darinya terdiri dari 15 golongan kurang upaya (bisu/ cacat), 18 booth ibu tunggal dan 4 keluarga orang asli mempamerkan hasil jahitan mereka selain untuk jualan anjuran Sewing World Gallery.
Dia yang menetap di Kota Kinabalu Sabah dan berkahwin dengan pasangan orang tempatan berkata, dia tidak minat makan gaji kerana tahu keuntungan diperolehnya sekarang jauh lebih tinggi.
“Saya suka menjahit dan ia bukan pekerjaan susah pun. Masa lebih fleksibel dan jahitan ini sentiasa dicari orang. Saya kerja lapan jam sehari tetapi saya mampu kaut keuntungan lebih RM15,000 sebulan, jauh dari kerja makan gaji,” katanya yang sudah berjaya memiliki kedai.
Bagi program Handmade Market yang diadakan bermula 18-21 Januari dari jam 11 pagi – 9 malam di Sky Park One City, USJ, Indah hanya membawa jualan tudung shawl tetapi di Sabah, dia menjahit lebih dari itu seperti jubah/ dress, baju kurung, blaus, skirt dan banyak lagi.
Lelaki sering dikaitkan dengan soal macho. Ketepikan soal penampilan, apa yang penting adalah nilai wang yang boleh masuk ke poket dengan hanya menjahit.
Bagi Awaludin bin Mahmudin, 30, dia memilih menjahit sejak 5 tahun lalu.
“Saya banyak menjahit beg-beg dari seluar jeans terpakai. Sebelum ini saya tak pernah ada asas menjahit pun tapi bila pergi kursus belajar menjahit, saya tengok sangat senang. Hari ini saya mampu jahit beg, porch dan banyak lagi dari seluar jeans.
“Sebelum pilih jadi tukang jahit sepenuh masa, saya pernah kerja sebagai pembantu farmasi, pembantu kedai tetapi rupanya itu satu dari pengalaman saja. Menjahit rupanya sangat senang. Income saya pun lebih dari RM5000 bersih setiap bulan,” katanya yang tinggal di Melaka.
Kalau sekarang ramai anak dara tak minat jahit, tetapi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan (WI) Pekan, Datuk Melati berkata, menjahit adalah satu kerja paling mudah, tak lapuk dek zaman dan akan sentiasa dicari orang.
“Nak tukar zip pun orang ambil upah RM10. Nak potong kaki seluar pun lebih kurang RM5-8. Sangat mudah nak buat duit. Kerajaan banyak membantu memberikan modal dan mesin jahit. Antara nak dan tak nak sahaja serta tahu merebut peluang,” katanya yang mahu wanita memperkasa diri menimba ilmu jahitan kerana modal sedikit, untung banyak.
Dalam pada itu, Datuk Melati mengakui sikap “ambil tahu” selepas kursus adalah satu cara paling berkesan untuk membantu golongan ini.
“Kadang kita terlalu manja. semuanya nak mudah. Menjahit ini mudah dan inilah pekerjaan paling mudah buat duit,” katanya yang juga Presiden Ibu Tunggal Malaysia.
So, kalau selama ini kita rasakan menjahit ini bukan pekerjaan menguntungkan, bolehlah ubah minda dan buka mata mengenai pekerjaan sebagai tukang jahit. Hanya perlukan kesungguhan kerana industri jahitan ini sudah berbeza dari dulu.Banyak hasil-hasil kraftangan boleh dilakukan dan Malaysia juga seharusnya berbangga kerana Sewing World Gallery sudah mendapat 3 rekod Dunia dari World Guiness Record.
So guy n girls, apa kata hujung-hujung minggu ini, jalan-jalan ke Sky Park One City dan tengok pameran hasil jahitan. Ada banyak beg jeans serta macam-macam lagi.
Saksikan video di bawah ini, betap mudahnya nak menjahit…