Antara wajah muda yang ditonjolkan oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya umum kali ke 15 akan datang ialah jejaka berusia 37 tahun, Shahril Hamdan atau nama penuhnya Shahril Sufian bin Hamdan. Dia yang memegang jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO telah diberikan mandat untuk bertanding di Parlimen Alor Gajah.
Dia yang bukanlah anak jati negeri Melaka berkata kepada pihak media akan meminta nasihat mereka yang arif dalam situasi politik di Alor Gajah selaku pemain ‘import’ yang bertanding di situ.
Mendepani cabaran dari veteran politik seperti Adly Zahari yang mewakili Pakatan Harapan dan Datuk Seri Mohd Rezuan Mohd Yusof yang mewakili Pakatan Nasional. Ternyata dia berhadapan dengan kuasa besar yang merupakan antara ahli politik popular di Melaka.
Sebelum ini ketika PRU14, dia yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO pernah bertanding di Parlimen Kuala Langat Selangor namun tewas kepada wakil Pakatan Harapan, Xavier Jayakumar yang menang majoriti mudah.
Dalam hantaran yang memaparkan dirinya sebagai calon PRU, Shahril bekata, “Diharapkan warga Alor Gajah dapat membuat pilihan yang tepat pada 19 November nanti dan mohon dokongan buat saya dan BN khususnya. Inilah masa untuk membina kestabilan masa depan. Angkat Yang Wibawa, Pilih Yang Muda.”
SIAPA SHAHRIL HAMDAN?
Antara wajah muda dalam barisan ahli politik UMNO, Shahril Hamdan merupakan graduan dari London School of Economics and Political Science dalam jurusan Sarjana Sosiologi (Bangsa, Etnik dan Pengajian PascaKolonial). Sebelum itu dia mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti of Manchester dalam bidang Ekonomi dan Politik.
Sudah berkahwin dan merupakan bapa kepada seorang cahaya mata, dia kini turut memegang jawatan sebagai Penasihat Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri. Mengimbau kembali perjalanannya di dalam dunia politik, dia mula-mula bergelar Exco Pemuda UMNO sekitar tahun 2013 sebelum mendaki tangga ke puncak dalam organisasi tersebut.
Sebelum itu Shahril Hamdan terlebih dahulu pernah berperanan sebagai Pegawai Komunikasi dan Dasar untuk Khairi Jamaludin selama dua tahun bermula 2008 sehingga 2010. Dia juga pernah bergelar Duta TN50 dan Ahli Parlimen Belia Malaysia.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit fotoA: Instagram Shahril Hamdan