Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul, Bogor Indonesia semalam telahpun menyaksikan kejayaan wakil Brazil, Isabella Menin diangkat sebagai Miss Grand International 2022.
Dalam acara gilang-gemilang tersebut, model serta usahawan berusia 26 itu telahpun mengenepikan saingan 67 lagi wakil negara lain termasuklah wakil Malaysia, Charissa Chong untuk memiliki mahkota keemasan daripada juara tahun lalu, Nguyen Thuy Thuc Tien dari Vietnam.
Melengkapkan kedudukan Top 5 ialah Engfa Waraha dari Thailand (naib juara), Andina Julie dari Indonesia (pemenang tempat ketiga), Luiseth Materan dari Venezuela (pemenang tempat keempat) dan Mariana Beckova dari Czech Republic (pemenang tempat kelima).
Turut cemerlang hingga mencapai kedudukan Top 10 ialah wakil dari Kemboja, Puerto Rico, Sepanyol, Colombia dan Mauritius yang layak atas tiket undian ‘Miss Popular Vote’.
ARTIKEL BERKAITAN : Charissa Chong Jadi Jelmaan Harimau Malaya Di Miss Grand International 2022 – REMAJA
Impian Yang Dipasang Selama 26 Tahun Oleh Ibu
Isabella Menin bukan sekadar dikurniakan kecantikan dan kepetahan bercakap dakam bahasa Sepanyol, Inggeris, Perancis dan Itali.
Malah gadis kelahiran Marilia, Brazil yang memiliki darah kacukan Brazil-Itali ini juga bijak orangnya. Pada usia semuda ini, Isabella sudahpun bergelar graduan sarjana muda dalam jurusan Ekonomi dari Westminster Business Scool, London dan telah melengkapkan pengajian sarjananya dalam jurusan kewangan dari institusi berprestij, University College London atau UCL.
Sejak awal pertandingan lagi yang bermula di kepulauan Bali, Isabella sudahpun menunjukkan konsistensinya sebagai salah seorang peserta ‘front runner’ bagi mengejar gelaran Miss Grand International. Dia hadir berbekalkan pengalaman mengasaskan organisasi bernama Beyond Project yang melancarkan misi menyokong persatuan bagi golongan kurang upaya di Brazil.
Terdahulu pada tahun 2013, Isabella pernah memenangi pertandingan antarabangsa Miss Teen International di Costa Rica. Menariknya, minat serta potensi dalam dunia ratu cantik ini diturunkan daripada ibunya sendiri yang pernah bergelar Miss Marilla di lokasi kelahirannya.
Kata ibunya kepada rakan pemberita, Isabella telahpun dihantar untuk bergiat dalam apa-apa jenis pertandingan ratu cantik sejak dia dilahirkan. Baginya, kejayaan ini bertitik tolak daripada impian yang dipasang oleh mereka selama 26 tahun.
Fuh lama tu! Walaupun selama ini mengidamkan peluang untuk bergelar juara ratu cantik, Isabella masih tidak melupakan soal pelajaran dan kerja-kerja kemanusian yang dekat di hatinya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.