Nadhir Nasar satu nama yang semakin hari semakin mendaki tangga populariti sesuai dengan bakat besar yang dimilikinya. Juara pertandingan Hero Remaja 2020 ini menyerlah sebagai anak seni yang berjiwa besar.
Setiap karakter yang diberikan kepadanya dimainkan dengan cukup penghayatan. Dari watak seorang anak yang taat kepada watak suami pendera sehingga kepada watak iknoniknya sebagai Naim Firdaus Ismet dalam drama bersiri Projek: High Council, Nadhir memukau.
Memulakan kerjayanya sebagai seorang peragawan, sejak menjuarai Hero Remaja 2020 Nadhir tidak lagi menoleh ke belakang. Jiwanya sebagai anak seni cukup besar. Selain bergelar seorang pelakon, jejaka berusia 27 tahun ini menjinak-jinakkan dirinya sebagai seorang pengarah juga.
Sebagai bukti, baru-baru ini naskhah cereka pendek arahannya berjudul Villa Rosly tercalon sebagai salah satu finalis di BMW Shorties 2022. Walaupun tidak berjaya bergelar pemenang, namun berada di kelompok terbaik sudah cukup membuktikan kebolehan dirinya.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) daripada Universiti Teknologi MARA, anak kelahiran Amerika Syarikat ini juga pernah diiktiraf di peringkat Asia. Biarpun baru setahun jagung dalam industri seni dia pernah memenangi gelaran Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Malaysia menerusi naskah Nusyuz Berkiblat Cinta di Asian Academy Creative Awards.
Projek: High Council sudah melabuhkan tirai dengan tampilan episode akhir yang meruntun perasaan. REMAJA yang sempat bertemu dengan jejaka tinggi lampai ini bertanyakan mengenai impak drama bersiri tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan UPSI & Bekas Ketua Pelajar MRSM Kuala Terengganu. Amir Ahnaf Cemerlang Sebagai Wajah Baharu Dunia Seni
“Jangan putus asa dengan hidup. Sebenarnya banyak dalam episod-episod Pojek: High Council yang kita boleh tengok yang sebenarnya senario berputus asa sebagai remaja. Banyak daripada kita rasa yang masalah remaja adalah kecil, kononnya masalah ketika remaja biasa-biasa sahaja jika nak dibandingkan dengan dunia selepas persekolahan, tapi sebenarnya tidak.
“Segalanya bermula dari situ, bagaimana kita membentuk diri sendiri, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apa yang dilalui dari zaman persekolahan itu yang akan dibawa sebenarnya ke zaman pekerjaan,” ujarnya.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.