Musim Istiadat Konvokesyen di beberapa buah institusi kini meriah dilangsungkan bagi menyambut kejayaan para graduan yang telah bertungkus-lumus mengejar kejayaan dalam bidang pendidikan mengikut minat masing-masing.
Tentunya bagi meraikan hari istimewa ini, para graduan enggan ketinggalan mendapatkan busana pakaian baharu untuk diperagakan di bawah jubah konvokesyen.
Namun, bagi graduan bernama Liane Melve Grace yang berasal dari Sabah ini, momen beliau naik ke pentas di Istiadat Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberi makna tersendiri apabila gadis itu memilih busana bermotifkan etnik yang dijahit oleh ibunya sendiri.
‘Sumandak’ berusia 24 tahun itu berkongsi bahawa bussana yang diinspirasikan daripada etnik bangsa Murut itu dihasilkan oleh ibunya dalam masa tiga hari sahaja. Wow!
“Kebiasaannya, ibu saya akan mengambil masa seminggu untuk siapkan satu helai gaun. Namun, dia siapkan gaun ini hanya dalam tiga hari saja, khas untuk saya pakai pada Istiadat Konvokesyen hari ini,” kata Liane yang juga pernah bergelar finalis pertandingan Unduk Ngadau 2024 mewakili daerah Tenom.
Bercakap mengenai pengalaman Liane di Semenanjung sewaktu bergelar pelajar, katanya, memang ada perbezaan bahasa dan budaya. Dirinya memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan semua itu, namun dia tidak sesekali melupakan jati diri sebagai seorang gadis kelahiran Sabah.
Sebagai contoh, Liane yang kini sudahpun bekerja masih melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menguruskan kelas belajar Bahasa Murut bersama komuniti setempat. Ia bertujuan untuk menarik minat remaja lain yang ingin mempelajari bahasa Sabah.
“Saya merupakan salah seorang pejuang bangsa Murut di Sabah. Jika ditanya adakah saya berbangga untuk menjadi bangsa Murut atau tidak, saya sebenarnya amat berbangga dengan asal-usul saya.
“Saya tidak kisah andai kata kalau naik kapal terbang perlu bawa ini berat-berat (busana tradisional untuk Istiadat Konvokesyen). Yang penting, saya hendak tunjuk kepada orang luar bahawa saya berasal dari bangsa Murut,” ulasnya lagi.
Tahniah Liane!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.