Situasi pandemik dari tahun 2020 hingga 2021, keadaan ekonomi yang kurang stabil dan juga saingan sengit daripada sejumlah besar graduan baharu pada tahun lalu adalah antara faktor yang menyebabkan kadar kebolehpasaran dalam kalangan graduan dalam industri pekerjaan sedikit menyusut.
Isu ini telah disebut oleh Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad pada Sidang Dewan Rakyat pada hari ini.
“Berdasarkan kajian pergesanan graduan yang dilaksanakan KPT, pada tahun 2020, kadar kebolehpasaran graduan adalah pada 84.5 peratus; menurun sebanyak 1.8 peratus berbanding 2019,” katanya sebentar tadi.
ARTIKEL BERKAITAN : 75,000 Graduan Diramal Terjejas Peluang Pekerjaan Akibat COVID-19 – REMAJA
Namun, Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan berdiam diri dan sedang cuba membangunkan pelan strategik kebolehpasaran graduan dari 2021 hingga 2025 setelah ia mengalami penurunan tahun lalu.
Datuk Seri Noraini berkata langkah itu perlu bagi meningkatkan peluang dan daya saing graduan memperolehi pekerjaan sebaik saja menamatkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Ini termasuklah dengan cara meningkatkan kebolehan insaniah dan ‘soft skill’ bagi memastikan graduan tempatan kita memenuhi kehendak industri sekarang.
Usaha ini bukan sekadar membabitkan graduan IPT Awam saja tetapi juga dalam kalangan graduan IPT Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti.
Bagi graduan 2019, 2020 dan 2021 yang masih belum menemui kerja, korang boleh merebut tawaran tempat bagi program-program latihan di bawah inisiatif penjana KPT yang berbentuk rescaling dan upscaling. Ada juga program lain seperti intervensi pasaran graduan (GE) dan perlaksanaan program berstruktur internship (SIP) yang wajar korang teliti.
DAN tentunya dari semasa ke semasa, modul pengajian juga akan ditambah baik bagi meningkatkan kebolehan yang diperkatakan tadi agar ia menepati kehendak industri.
*
Untuk pengetahuan, sebanyak 1235 graduan baru-baru ini telahpun mendapat pekerjaan melalui latihan industri yang dilaksanakan sebelum ini. Oleh itu, terus positifkan diri dan jangan pernah berhenti daripada percubaan mencari peluang pekerjaan.
Sambil itu, jom lihat beberapa pekerjaan yang diramalkan akan bertambah dari sekarang hingga tahun 2025.
BACA LAGI : Senarai Pekerjaan Yang Diramalkan Akan Bertambah & Berkurang Sekitar Tahun 2020-2025 – REMAJA