Graduan Undang-Undang UM Raih Gelaran Naib Juara Dewi Remaja 2019

Share

Pertandingan Dewi Remaja 2019 yang baru berlalu menyaksikan Shaza Bea dinobatkan sebagai juara baru Dewi Remaja 2019 menggantikan Raysha Rizrose yang memenanginya pada tahun 2014/2015.

Dalam pertandingan akhir yang menampilkan lima finalis akhir Dewi Remaja 2019 terdiri dari Adriana Ghafar, Nynaa Harizal, Syamira dan juga Amanda menyaksikan graduan Undang-Undang dari Universiti Malaya, Adriana Ghafar dinobatkan sebagai Naib Juara Dewi Remaja 2019.

Tentu ramai nak tahukan, apa perkongsian Adriana selepas kemenangan diraihnya selain membawa pulang wang tunai RM7000, sebentuk tiara dan juga sebuah trofi.

Jangan tak tahu, sebelum memasuki pertandingan Dewi Remaja 2019 ini, Adriana sudah ditanya dengan soalan agak cliché iaitu nak jadi peguam atau nak jadi artis hanya disebabkan dirinya seorang graduan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya.

“Memang benar saya ditanya begitu oleh sebahagian pensyarah dan juga rakan sekuliah. Mereka tanya saya nak jadi peguam ke nak jadi artis. Walau saya melihat soalan ini agak sensitif awalnya tapi selepas saya bertemu Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang kerana mahu meminta kebenaran menangguhkan satu semester, beliau memberikan restunya.

“Kata Timbalan Dekan tersebut, saya yakin awak boleh mengharumkan nama fakulti kita. Carilah angin baru, mencuba sesuatu yang awak minat dan atas restu itulah saya meneruskan cabaran sehingga meraih kejayaan hari ini,”kata Adriana atau pemilik nama sebenarnya Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar.

Meraihkan perhatian ramai kerana kebijaksaannya menjawap soalan juri yang bertanyakan soalan mengenai apa yang ingin dia lakukan sekira dirinya seorang lelaki dan apakah sumbangan yang dilakukan jika dirinya seorang lelaki, Adriana mengakui dirinya lebih gemarkan soalan berbentuk fakta kerana terdedah kepada pengajian Undang-undang namun ketika ditanya soalan berbentuk emosi, Adriana berkata dia harus menjawap menurut emosi juga.

“Secara spontan saya terfikir tentang ayah yang sudah banyak berbakti, mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak serta keluarga. Tidak pernah lelah mahupun merungut, saya melihat bapa sebagai idola.

“Ya, itulah yang terlahir secara spontan dari hati saya untuk menyanjungi ayah, Ghafar yang sudah banyak berkorban untuk membahagiakan kami sekeluarganya.

“Sebagai anak sulung pula, saya ingin membalas jasanya dengan menggunakan wang kemenangan ini untuk membayar yuran pengajian universiti yang akan bermula Februari tahun hadapan,”katanya yang mahu menamatkan pengajian dengan cemerlang sekaligus membuktikan persoalan rakan-rakan yang pernah bertanya benarkah dia mahu menyertai pertandingan Dewi Remaja sebagai salah.
Bukan saja petah berkata-kata namun Adriana mengakui dia merupakan peserta debat Bahasa Melayu dan sering mewakili Universiti Malaya saban tahun. Bukan itu saja dia juga pernah mewakili universiti dalam debat Bahasa Inggeris selain suka membuat kerja-kerja amal melibatkan remaja seperti di Rumah Tunas Bakti dan lain lagi.

“Saya minat membaca. Boleh dikatakan saya suka membaca kisah-kisah pemimpin,buku berkaitan sejarah dan lain-lain bersifat ilmiah. Kalau boleh selepas tamat pengajian saya mahu menjadi pakar motivasi untuk membantu golongan wanita. Masa yang sama, saya juga minat bidang modelling dan juga pengacaraan.

Dalam pada itu, Adriana sama sekali tidak menyangka dirinya akan meraih Naib Juara Dewi Remaja 2019 kerana dirinya adalah calon underdog berbanding rakan lain seperti Nynna Harizal, Amanda dan juga Syamira.

“Itulah kata orang, rezeki sudah ditetapkan oleh Allah taala. Kemenangan ini adalah dedikasi untuk semua gadis di luar sana. Gapailah apa impian kita impikan, mencubalah dan masa yang sama berpegang pada qada dan qadarNya,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM7000, sebentuk tiara dan trofi selaku Naib Juara Dew Remaja 2019.

Published by
Almaswa Haji Che Ros