
Biasalah kediaman yang mempunyai binatang peliharaan pasti akan meninggalkan bau yang kurang menyenangkan. Bukan sahaja kurang enak malah memberi kesan tidak baik terutama kepada mereka yang mempunyai alahan.
Terutamanya jika kucing tadi jenis ‘indoor’ dan tidak pernah dilepaskan di luar rumah.
ARTIKEL BERKAITAN : 10 Tip Hilangkan Bau Durian Dalam Kereta, Confirm Berkesan!
Tambahan pula di musim perayaan ini, nanti tidak selesa pula tetamu yang berkunjung tiba di rumah kita. Jadi, apa yang dilakukan bagi menghilangkan bau kucing yang kadang-kala agak kurang menyenangkan itu.
Perkongsian berkenaan tips kurangkan bau kucing dalam rumah ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok @qienaibrahim di akaun miliknya.
“Antara tip untuk majikan indoor. Selain bibik kena rajin buang jongkong emas majikan dan bersihkan litter box majikan,” tulis kapsyen muat naik wanita tersebut.
Guna kulit kayu manis sahaja
Menurut perkongsian video wanita tersebut, bahan utama untuk mengatasi masalah itu adalah kulit kayu manis. Bahan mudah yang berada di dapur rumah dan menjadi kegunaan untuk memasak makanan yang enak.
Langkah pertama yang anda perlu lakukan adalah ambil bekas kosong mengikut saiz bersesuaian dengan keluasan rumah anda.
Kemudian letakkan kulit kayu manis beberapa batang dan tuang air ke dalam bekas tersebut. Air boleh di isi separuh daripada bekas kosong yang disediakan tersebut.
Letak campuran bahan tadi di tempat yang tersorok seperti di bawah kabinet tv mahupun almari hiasan. Perkongsian wanita itu juga telah mendapat reaksi pelbagai daripada pengguna media sosial TikTok yang lainnya. Antara komen yang mendapat perhatian adalah:
“Rumah saya flat ada 10 ekor kucing memang setiap penjuru saya letak air kayu manis. Memang takda bau,” tulis seorang pengguna yang berkongsi cara yang sama untuk hilangkan bau kucing.
“Cuma kena pastikan letak ubat jentik-jentik untuk elak jadi tempat pembiakan aedes,” tulis seorang pengguna yang memberi saranan tambahan.
“Sangat berguna untuk babu seperti saya…” tulis seorang lagi pengguna bergurau.
Sumber: TikTok via @qienaibrahim
BACA LAGI : Kajian Bukti Pemandu Kereta ‘Kayangan’ Punya IQ’ Rendah?
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Hukum Pakai Lipstik & Make Up Keterlaluan, Ramai Wanita Ambil Remeh Tanpa Ketahui Hukumnya

Ramai anak gadis suka menunjukkan tutorial mengenakan make up atas alasan mereka juru solek dan sebagainya. Masa yang sama, ada ketikanya ketika berada di luar ramai mengenakan alat solek berlebihan untuk menarik mata lelaki untuk memerhatikannya.
Bukan saja di kalangan anak gadis tetap ramai wanita yang sudah berkahwin juga adakalanya mengenakan alat solek berlebihan tanpa mengetahui hukumnya.
REMAJA siarkan perkongsian dari Mufti Wilayah, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengupas isu ini.
Assalamualaikum w.b.t
Boleh saya minta nasihat sikit. Saya tertanya-tanya sebenarnya apakah hukum bagi wanita memakai lipstik? Adakah perkara tersebut termasuk kebiasaan wanita jahiliyyah? Sebabnya saya pun tak mahulah orang lain melihat saya sebagai seorang yang selekeh yang tidak pandai mengurus diri. Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ianya mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.
Di antara hak seorang wanita itu adalah berhias dan suami harus mengambil kenikmatan dengan kecantikan serta perhiasannya. Firman Allah SWT :
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”
(Surah al-A’raf : 32)
Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)
Hukum memakai lipstik
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, hukum wanita memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain adalah harus sebagaimana umum firman Allah SWT :
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya : “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah : 29)
Walau bagaimanapun, wanita hanya harus berhias untuk para suami mereka serta mereka yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Tidak harus dia mempamerkan kecantikannya selain daripada suami mereka dan sebahagian manusia yang telah disebut di dalam ayat 31 surah al-Nur. Al-Quran telah meletakkan batas-batas syariat tersebut, sebagaimana firman Allah SWT :
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya : “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Nur : 31)
Syeikh al-Sa’di menafsirkan ‘kecuali yang zahir daripadanya’ pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 566)
Oleh itu, kami berpandangan sekiranya wanita tersebut sekadar memakai lipstik dengan warna yang tidak ketara, atau memakai alat-alat solek yang lain seperti bedak dan lain-lain dengan nipis dan sekadarnya (tidak berlebihan), serta tidak tabarruj semasa berada di luar, adalah tidak mengapa, selagi mana perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat). Hal ini kerana, agama Islam sangat menekankan soal kekemasan dan kecantikan sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda :
إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.”
[HR Muslim (91)]
Tabarruj (Berlebihan dalam berhias)
Selain itu, perkara yang harus diingat dan diberi perhatian juga bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)
Firman Allah SWT :
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”
(Surah al-Ahzab : 33)
Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam kitabnya bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6)
Begitu juga, Imam al-Syaukani ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) laki-laki. (Lihat Fath al-Qadir, 4/320 )
Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam membincangkan masalah ini, berpandukan pandangan para fuqaha’ dalam pembahagian hukum berkenaan tabarruj sebagaimana yang digariskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan :
“Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62)
Maka, kita ketahui bahawa perbuatan bertabarruj itu adalah merupakan kebiasaan wanita jahiliyyah. Demikian juga, kami katakan bahawa termasuk dalam perbuatan tabarruj itu ialah apabila seorang wanita memakai alat-alat solek secara berlebih-lebihan yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah. Inilah yang dilarang dan ditegah di dalam agama. Adapun, memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi, maka ia tidak mengapa.
Kesimpulannya
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
- Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.
- Kami berpandangan tidak mengapa bagi seorang wanita itu untuk memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain semasa berada di luar rumah dengan syarat tidak berlebihan dan memakai sekadarnya sahaja serta tidak bertabarruj. Selain itu, perkara tersebut harus selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat).
- Lebih-lebih lagi, apabila dia memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain itu sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi. Hal ini kerana Islam sangat mengambil berat soal kekemasan, kebersihan dan kecantikkan.
- Walau bagaimanapun, seorang wanita muslimah itu juga mesti ingat bahawa berlebihan dalam berhias bagi seseorang wanita adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja.
Kami akhiri dengan kata-kata Sayyid Qutb sebagai renungan bersama, khususnya buat para wanita di luar sana :
“Perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semulajadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semulajadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semulajadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain darinya (suaminya).” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512)
Syarikat Penerbangan Bawa Suasana Dalam Pesawat Ke Restoran, Siap Kerusi Pun Sama!

Disebabkan pandemik COVID-19 banyak syarikat penerbangan mengalami kerugian teruk sehingga terpaksa membuang sebahagian daripada para pekerja dan kru kapal.
Thai Airways antara yang terkesan dan mengambil langkah pengstrukturan semula.
Disebabkan tiada penerbangan boleh dilakukan dalam usaha membendung penularan virus COVID-19, syarikat penerbangan ini mengambil pendekatan unik dengan membuka restoran bersuasana dalam kabin di ibu pejabatnya.
Restoran sementara ini dibuka di kafeteria syarikat tersebut. Sebelum ini, ia hanya berfungsi sebagai tempat makan untuk staf sahaja.
Menariknya, sebaik sahaja tiba di restoran tersebut, tetamu akan disambut dengan pramugari lengkap dengan uniform penerbangan tersebut dan akan diberikan cenderamata seperti pas penerbangan
Restoran itu dihiasi dengan bahagian-bahagian kapal terbang seperti tempat duduk ekonomi dan juga tempat duduk kelas bisnes lantas memberikan lagi suasana di dalam kapal terbang.
***P/S – Rindu nak makan Nasi Lemak Pak Nasir seperti dalam kapal terbang.
Hilangkan Stres & Depresi, Antara Manfaat Aktiviti MEMANCING!

Kalau korang tengah mencari hobi baru, memancing ini mungkin boleh difikirkan.
Memancing menjadi aktiviti dan hobi yang sering kali dipandang sinis bagi mereka yang bukan dalam kalangan peminatnya.
ARTIKEL BERKAITAN : Hobi Memasak Sejak Kecil, Shafiquecute Dari Makmal Forensik Ke Dapur
Sebenarnya, aktiviti memancing mempunyai banyak rahsia yang anda mungkin tidak tahu. Malah, seperti hobi yang lain, memancing merupakan aktiviti yang sihat untuk fizikal dan mental seseorang.
Memancing bukan sahaja mampu merendahkan tahap stres seseorang, malah ia juga boleh bantu lelaki jadi makin cergas!
Tak percaya? Jom baca info dari Fatin Zahra ni!
7 sebab mengapa anda perlu jadikan memancing satu hobi
1. Bantu Jadi Lebih Cergas
Bukan mudah untuk mendaratkan seekor ikan yang bersaiz besar ya! Seorang lelaki perlu merangsang kekuatan pada bahagian lengan, bahu, belakang dan juga kaki untuk menarik seekor ikan ke darat.
Bukan itu sahaja, kadang-kadang, tempat memancing yang menjadi port juga jauh daripada kawasan awam. Peminat aktiviti memancing perlu mendaki sedikit ataupun berjalan 10 hingga 15 minit sebelum tiba ke destinasi yang dituju.
Tambah lagi, khemah dan peralatan memancing juga perlu dipasang, dan semua aktiviti ini juga perlukan tenaga!
Siapa kata aktiviti memancing ini hanya duduk dan tunggu sahaja?
2. Memancing Tambah Vitamin D Dalam Badan
Vitamin D banyak terkandung dalam sinaran matahari. Oleh itu, individu yang sukakan aktiviti yang dilakukan di luar rumah pasti dapat menerima vitamin D yang cukup untuk badan.
Antara fungsi vitamin D adalah untuk membantu penyerapan kalsium dan juga phosphorus dalam badan. Vitamin D juga bantu sistem imun berfungsi dalam kadar yang normal.
Jika anda tidak mendapat vitamin D yang mencukupi, penyakit seperti osteoporosis boleh menyerang anda di kemudian hari.
3. Jadi Lebih Fokus
Menurut pakar, individu yang gemar menghabiskan masa dikelilingi dengan alam sekitar mempunyai keupayaan untuk fokus dengan lebih lama.
Tambah lagi, di dalam jurnal British of Sports Medicine, individu yang suka duduk di bawah pohon yang rendang dan menghabiskan masa di tepi sungai mempunyai keupayaan untuk fokus dalam jangka masa yang lebih panjang.
4. Bantu Kurangkan Stress
Kajian mendapati bahawa orang dewasa yang mempunyai hobi kurang berisiko untuk mengalami stres ataupun depresi.
Mereka juga mempunyai mood yang lebih baik jika dibandingkan dengan individu lain yang tidak mempunyai hobi.
Aktiviti memancing yang membolehkan peminatnya untuk keluar menghirup udara segar sambil menghayati keindahan alam sekitar sudah pasti boleh membuatkan sesiapa sahaja rasa lebih tenang dan bahagia.
Jika anda alami masalah tidur malam, cuba libatkan diri dengan aktiviti memancing. 40% orang dewasa mendapati mereka lebih tenang ketika berada di sekeliling air.
5. Individu dengan hobi memancing banyak kawan, sahabat.
Hobi memancing juga dapat bantu eratkan tali persahabatan ataupun ikatan kekeluargaan.
Pasti seronok bukan jika sepanjang hari dikelilingi oleh orang yang mempunyai minat dan juga hobi yang sama.
Bukan sahaja dapat berkongsi pendapat, malah, mungkin pada hujung sesi memancing nanti anda boleh jumpa kawan baru!
Tambah lagi, ada dalam kalangan pemancing yang melakukan aktiviti ini sebagai aktiviti kekeluargaan.
Seorang ayah mungkin akan bawa anak lelakinya memancing pada waktu senggang. Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara mereka.
6. Hobi memancing bantu tingkatkan keyakinan diri
Kaki pancing selalunya gemar bertukar-tukar cerita antara satu sama lain.
Mereka akan bercerita tentang pengalaman memancing yang lepas seperti ikan apa yang telah mereka tangkap ataupun tempat yang terbaik yang mereka pernah lawati.
Semua aktiviti ini boleh bantu para pemancing untuk tingkatkan keyakinan diri mereka. Tambah lagi, hobi memancing juga boleh bantu asah skil komunikasi dalam berhubung dengan orang lain.
7. Amalan memancing ikan bantu anda lari sebentar dari dunia nyata
Seperti hobi lain, hobi memancing amat membantu penggiatnya untuk lari sebentar dari dunia nyata dan hiruk-pikuk kota.
Setelah menghabiskan banyak masa terperangkap dalam pejabat dan hanya duduk di hadapan skrin komputer, pasti mental rasa lega ketika mendengar bunyi jeram di sungai.
Kepala juga rasa lebih ringan ditiup angin sejuk di luar bandar. Pasti badan yang rasa lelah terus jadi bersemangat ketika memancing!
***
Artikel ini diambil dan diolah dari Keluarga.
BACA LAGI : Hanya Sekadar Hobi, Remaja Malaysia Tak Sangka Foto Dipilih Apple
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.