Bagi seorang pencinta bidang fotografi, mendapat pengiktirafan daripada jenama terkenal dunia adalah merupakan impian buat mereka. Akaun Instagram Apple antara platform yang mengumpulkan gambar-gambar menarik hasil karya pengguna iPhone.
Memiliki lebih daripada 26 juta pengikut di laman Instagram, sudah tentu jika gambar kita terpilih untuk disiarkan di akaun mereka, perasaan bangga menyelebungi diri kerana hasil karya kita mendapat perhatian oleh jenama gajet popular antarabangsa ini.
Terbaharu, sebuah gambar milik Badrul Akram Badaruddin telah pun dimuat naik di Instagram Apple. Pekerja grafik itu mengambil gambar mata kanan anaknya, Luth Fateh ketika dalam perjalanan ke rumah ibunya.
Gambar dirakam secara spontan di dalam kereta kira-kira pukul 6 petang sewaktu matahari terik dengan menggunakan model iPhone 12 Pro Max sebelum memuat naik di instagramnya awal Julai lalu.
Lelaki itu tidak menyangka bahawa dia dihubungi pihak Apple untuk meminta butiran dengan memberitahu akan mempertimbangkan gambarnya untuk dimuat naik di IG Apple.
Gambar tersebut menerima lebih daripada 260 ribu tanda suka dan 700 komen. Rata-rata memuji hasil karya anak muda ini dan berbangga dengan pengiktirafan yang diberi oleh syarikat peranti elektronik itu. Bukan hanya menerima pujian daripada masyarakat Malaysia, malah gambar itu juga turut mendapat perhatian warga luar negara.
Tahniah sekali lagi kami ucapkan buat Badrul Akram Badaruddin. Semoga lebih ramai lagi karya anak Malaysia mendapat perhatian orang luar.