Guna Wang PTPTN, 50 Pelajar IPTA Terpedaya Skim Pelaburan Mata Wang Kripto

Share

 

Bagi korang yang gemar melabur terhadap emas atau mata wang asing, silalah berhati-hati.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini memaklumkan orang ramai bahawa skim penipuan masih menular di Malaysia kini dikenalpasti dalam bentuk pelaburan emas, pelaburan mata wang digital, forex dan skim cepat kaya.

Buktinya, lebih 50 orang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kota Bharu, Kelantan terpaksa menanggung kerugian angkara terpedaya dengan skim cepat kaya dalam bentuk pelaburan mata wang kripto.

Memetik laporan media tempatan, kerugian tersebut dianggarkan melebihi nilai RM200,000 di mana setiap mangsa membuat pelaburan antara RM1,000 hingga lebih RM10,000.

Penuntut yang terpedaya ini sanggup menggunakan wang simpanan dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas gelap mata ingin mengaut keuntungan melebihi satu peratus sehari atau 30 peratus dalam masa sebulan.

Menyesal Ajak Adik

Kongsi salah seorang mangsa yang berusia 21 tahun, dia mula menyertai pelaburan membeli mata wang kripto apabila seorang pensyarahnya memuat naik iklan dalam kumpulan WhatsApp mereka pada Jun lalu.

Dia mula memasukkan wang tunai bernilai RM138 lebih 10 kali ke lima akaun berbeza hinggalah ia mencecah hampir RM3,900.

“Saya menyesal mengajak adik membuat pelaburan saja bernilai RM2,800 kerana percaya pelaburan itu akan memberi keuntungan selepas melihat baki akaun saya bertambah menjadi RM9,000. Malangnya, saya tidak sempat untuk mengeluarkan wang tersebut.”

*

Sementara itu, Presiden Persatuan Blockchain dan Matawang Digital Malaysia (MCBA) berkongsi beberapa tip untuk mengelak diri korang ditipu kegiatan penipuan kripto.

1) Wallet

Pastikan pelaburan menggunakan aplikasi dompet elektronik yang disimpan oleh pengguna (korang) dan bukannya disimpan oleh orang lain mahupun server. Sekiranya matawang kripto tidak dipegang oleh korang sendii, maka ia bukanlah milik peribadi korang.

2) Kekunci sulit dan awam

Penting adanya kekunci (password) sulit dan kekunci awam. Kekunci awam biasanya boleh diolah menjadi alamat dompet elektronik. Sekiranya pengguna tidak ada kedua-dua itu, maka ia bukanlah matawang kripto.

3) Transaksi

Mesti ada transaksi yang boleh dilihat secara umum menerusi aplikasi sesawang untuk perjalanan wang tersebut sejak peringkat awal penubuhan mata wang kripto sehingaa sekarang. Informasi ini akan disimpan secara blok. Pastinya ada rentetan daripada blok sebelumnya sehingga ke blok terkini untuk tatapan semua orang.

4) Elak pemasaran pelbagai peringkat (MLM)

Mata wang kripto yang dijual secara MLM mesti dielakkan kerana ini adalah suatu bentuk penipuan. Mata wang digital jenis ini boleh dibeli secara terus dari pengguna ke pengguna tanpa mendapat habuan yang lain daripada transaksi itu.

5) Jauhi mining digital

Elakkan kegiatan ‘perlombongan digital’ yang sah-sah merupakan suatu penipuan.

6) Kertas putih

Paling penting, semak dan baca kertas putih cadangan mata wang kripto. Sekiranya maklumatnya tidak jelas, maka korang hendaklah bertanya kepada pihak yang lebih mahir.

*

Jadi, korang diingatkan jangan terlalu mudah terpengaruh dengan pelbagai penganjuran skim cepat kaya atau skim yang menawarkan pulangan wang tidak masuk akal yang dijanjikan ‘bebas-risiko’ini. Elakkan menjadi seorang lagi mangsa penipuan  pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sumber: BH Mstar

Published by
Nana