Kes kehilangan seorang remaja dari Ireland, Nora Anne Quorin,15 tahun yang masih belum ditemui sejak hari kehilangannya dari Resort The Dusun Jalan Pantai sejak dua hari lalu terus menjadi tanda-tanya dan misteri dalam kalangan penduduk setempat.
Memetik laporan Bernama hari ini, pelbagai persoalan membelenggu dan ramai yang hairan dengan kemampuan remaja berusia 15 tahun itu yang juga anak istimewa untuk berada jauh daripada resort itu selain menyifatkan ia adalah pertama kali berlaku di kawasan resort berkenaan.
“Kes orang hilang di resort ini adalah kali pertama kerana sebelum ini kalau dengar pendaki Gunung Berembun hilang, ia kes biasa. Sepatutnya kalau dia anak istimewa, tak jauh dia boleh pergi,” kata Tok Batin Kampung Kolam Air Pantai Ali Ngongor, 56, kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau yang turut menyertai operasi mencari remaja itu berkata adalah mustahil mangsa mampu mendaki hutan yang tebal di situ dalam keadaan dirinya yang sebegitu, apatah lagi bertahan dalam tempoh yang agak lama.
“Tetapi tak mustahil juga ada unsur mistik. Resort ini memang tak ada pemantau, semuanya atas risiko sendiri,” katanya.
Tertarik dengan laporan ini, REMAJA ONLINE menghubungi penduduk asal kampung Pantai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Gunung Berembun yang kebetulan tidak jauh dari kawasan tempat tinggalnya sejak lebih 45 tahun lalu.
Enggan dikenali namun seperti dikongsikannya, kawasan perkelahan yang popular bagi penduduk setempat dan orang luar itu kerana airnya yang sangat jernih dan sejuk selain boleh melakukan pendakian di kawasan pergunungan itu, dirinya menjelaskan dari kecil ayahnya selalu bercerita kawasan Gunung Berembun merupakan penempatan bunian sejak dahulu lagi. Ia sebuah perkampungan yang agak besar kerana ada penduduk pernah terserempak dengan lelaki berjubah putih ketika mandi manda di kawasan ini.
“Kalau nak kata ada orang hilang ketika mendaki Gunung Berembun memang betullah. Selalu dengar cerita begini malah sejak saya remaja lagi. Sebaiknya kena berhati-hati dalam percakapan. Memang ada yang sesat dan dijumpai kembali tapi ada juga mangsa yang dijumpai dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi.
“Ikut rezeki ketika operasi mencari itu. Biasanya kalau hilang lebih dari tempoh 5-6 hari selepas hilang bergantung pada rezeki. Ada yang meninggal dan ada yang selamat tapi biasanya keadaan ketika dijumpai agak teruk.
“Malah di kawasan air terjun di situ juga ada berlaku kematian akibat lemas. Kalau berdasarkan cerita dari orang tua, nak masuk ke situ mulut kena jaga, tak boleh bebas lepas cakap,” katanya yang sudah berkali-kali mendaki di kawasan Gunung Berembun yang mempunyai ketinggian 1014 meter itu bersama ahli keluarganya malah kerap juga mandi mandi di kawasan air terjun tersebut. Bagi pendaki yang pernah mendaki, tentu akan terjumpa bangkai kapal terbang lama semasa Perang Dunia Ke 2 yang masih tersadai di kawasan lokasi popular ini.
Dalam pada itu, tambahnya, ramai orang luar tak tahu sejarah kawasan ini. Ikutkan mana-mana lokasi bahaya tapi kita kenalah sentiasa berhati-hati bila masuk ke kawasan orang,” katanya ketika dihubungi.
Dalam beberapa hari ini, berita kehilangan Nora Anne mendapat liputan media antarabangsa termasuk BBC yang melaporkan misteri kehilangannya.
The Dusun yang terletak 16km dari bandar Seremban adalah resort alam semula jadi persendirian yang bermula dengan sebuah dusun durian sebelum ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan dibangunkan sebagai resort dan dibuka kepada orang ramai pada 2009 bermula dengan dua chalet.
Mohd Syawaluddin Mohd Zin yang bekerja dengan agensi media antarabangsa berkata berita kehilangan Nora Anne menarik minat masyarakat luar untuk mengetahui perkembangannya.
“Apatah lagi dia merupakan anak istimewa,” katanya ringkas dan memaklumkan dia perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke sini untuk membuat liputan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Asisten Komisioner Che Zakaria Othman ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian berkata setakat ini kekuatan anggota mencari dan menyelamat remaja itu telah meningkat kepada 168 berbanding 159 anggota, pagi tadi.
“Satu unit Senoi Praak turut telah digerakkan dalam SAR ini dan setakat ini belum ada sebarang petunjuk dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya sambil menambah bahawa kawasan pencarian kini diperluaskan meliputi 12km dari resort berkenaan.
Senoi Praaq adalah unit yang unik dalam PDRM dan pemilihan anggota diambil 100 peratus daripada suku kaum Orang Asli dan digelar sebagai Malaysia’s Killer Elite kerana mahir dan berpengalaman dalam selok belok perperangan di hutan.
Unit elite Senoi Praq sering kali digerakkan dalam kawasan yang memerlukan kepakaran bagi mengesan jejak selain berbagai operasi lain.
Tinjauan Bernama juga turut mendapati terdapat beberapa pelancong asing turut membantu mencari remaja berkenaan di kawasan sekitar selain pemantauan daripada udara turut dilakukan PDRM.
Semalam, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi.
Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran. – Bernama