Bagi penggemar alam semulajadi, mahu lakukan aktiviti sihat, hujung minggu ini bersambung dengan cuti sehingga Isnin, boleh try mendaki Gunung Pulai yang terletak di Baling, Kedah.
Apa yang bestnya tentang Gunung Pulai ini berbanding di tempat lain? Di gunung ini mengandungi lebih dari 15 gua boleh diterokai dalam tempoh sehari berjalan.Jika korang sukakan alam semulajadi, kajian yang dilakukan oleh Mineral dan Geosains mengakui batu-batu yang terbentuk dalam gua ini usianya di antara 450 juta-550 juta tahun lamanya. Wow, memang cantik bentuknya! Ada sesetengah batu yang ditemui tidak pernah dilihat ditempat lain tetapi ada di Gunung Pulai ini.
Bukan itu saja, kajian dari Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Kedah yang dipengerusikan oleh Dato Dr Haji Wan Shamsuddin bin Mohd Yusof mengesahkan di lokasi ini terdapat lebih 20 kubur lama berusia ratusan tahun termasuk satu darinya adalah milik seorang Syahbandar (di salah satu kubur ini tertera tulisan tahun 996 yakni semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah 11 (1804-1845).
Mengikut sejarah negara, peranan Syahbandar kerjayanya menguruskan pelabuhan suatu ketika dahulu selain menguruskan cukai, menguatkuasakan keluar masuk kapal selain menguruskan gudang suatu masa dahulu.
Baru-baru ini, Persatuan Alam Sekitar Gunung Pulai telah meneroka gunung ini. Menurut seorang darinya, Roshazliza Abdul Razak di gunung ini terdapat birut tinggalan zaman British di lokasi ini.
Beberapa cabang sungai mengalir jernih dalam gua ini. Hidupan seperti ikan tengas, sebarau, udang, kura-kura, cicak tokek, katak bersaiz besar dan pelbagai hidupan lain. Puluhan ribu kelawar akan menyambut “tetamu” yang datang. Bagi yang sukakan “misteri” mengikut cerita penduduk kampung, terdapat seekor ular putih sebesar ular tedung selar tapi ia tidak mematuk. Sebaliknya ular ini akan mati apabila terkena matahari.
Lebih menyeronokkan, batu-batu stalaktik membentuk binatang seperti gajah, kambing, kerusi permaisuri, katil diraja, gong, burung, tempat berucap dan lain-lain lagi akibat penitisan air selama ratusan juta tahun sekaligus menjadikan Gunung Pulai mencipta kisahnya yang berbeda berbanding gunung lain di negara ini.
Tambah Roshazliza lagi, semasa penerokaan gua yang dilakukan bersama dengan Jabatan Warisan Negeri Kedah, mereka turut menemui Titi Besi Syahbandar termasuk sebuah surau tanpa paku yang masih boleh dilihat utuh di lokasi ini. Jarak surau berkenaan dari permukukaan gua hanyalah 10 kaki, terletak berdekatan dengan makam Syahbandar.
“Kami turut menyaksikan sungai-sungai yang amat jernih airnya sekalipun musim kemarau. Boleh nampak kehijauan airnya dengan dipenuhi ikan-ikan yang belum terusik,” kata Roshazliza yang memaklumkan, sungai-sungai ini memiliki kelebaran 7kaki lebar dengan kedalaman 5-6 kaki paras airnya.
“Amat sesuai untuk aktiviti riadah selain boleh berkelah, mandi-manda, menahan pukat, menjala, memancing, menyelam, menembak ikan di waktu malam dan macam-macam lagi. Semua pengalaman adalah sama seperti dilalui oleh orang zaman dahulu,”katanya memaklumkan penduduk berhampiran akan menahan “candik” iaitu sejenis alat menahan ikan yang akan dilakukan pada setiap bulan Disember.
Bukan saja, pendaki dan penerokaan gua akan dapat menyaksikan flora dan fauna lebh dari 250 spesis pokok hiasan dan perubatan.
“Begitu juga kehadiran burung seperti Enggang, Mawas, Tupai, Nandong, Burung Helang dan banyak lagi. Jika cuaca baik, kita akan dapat melihat ke beberapa daerah seperti Keroh, Perak, Kulim, Gunung Gerai Kedah selain Bukit Mertajam Pulau Pinang.
Jelas Roshazaliza lagi, Gunung Pulai bukan saja indah tetapi cukup bernilai dari sudut artifak dan sejarah ketamadunan negara.
“Kami mengharapkan gunung ini menjadi salah satu lokasi pelancongan dalam dan luar negara. Malah para pengkaji sejarah juga dialu-alukan kerana gunung ini belum diterokai sepenuhnya,” katanya memaklumkan, di luar Gunung Pulai ini ada dijual laksa dan bihun sup oleh penduduk tempatan. Bukan saja rasanya enak tetapi boleh menikmati pemandangan sawah padi dan duduk di tepi sungai yang jernih airnya sambil menikmati hidangan lazat.