Guru Ini Puji Drama Budak Tebing, Papar Masalah Sebenar Remaja Dalam Dunia Realiti

Share

Lebih kurang sudah seminggu berakhirnya drama rantaian popular Budak Tebing ditayangkan di televisyen, namun ia masih meninggalkan kesan di hati penonton. Rata-rata netizen berpuas hati dengan lakonan dan jalan cerita budak remaja yang tidak klise.

Drama yang dibintangi oleh Adam Lee (Arif), Aedy Ashraf (Tongki), Bella Downna (Laura), Eyka Farhana (Ira), Firdaus Ghudran (Talam) & Faris Isqandar (Yoyol) mengisahkan tentang hubungan persahabatan di antara Arif, Tongki dan Laura yang berusaha mengembalikan semula keakraban mereka selepas Tongki pulang semula ke kampung untuk mendapatkan kembali tanah arwah emaknya dan Arif pula sudah dibebaskan dari sekolah Henry Gurney atas tuduhan membunuh kawan baiknya, Kodi.

Karya ini berjaya menarik minat seorang guru yang juga merupakan ayah kepada anak-anak remaja kerana tema drama ini sangat dekat dihatinya. Menurut penulisannya dalam saifulislam.com:

“Sebagai guru, dan pelajar bidang sains pembelajaran, saya juga sentiasa berminat memahami perkembangan remaja, sama ada dari aspek psikososial mereka, mahu pun kognitif yang menjadi amatan saya melalui butiran perbualan, pemilihan perbendaharaan kata dan cara mereka mengungkap perasaan, fikiran malah gurauan dan amukan. Mungkin kerana, saya juga seorang ayah kepada anak-anak remaja, yang sentiasa mencari kekuatan untuk terus mendidik mereka, di negeri asing ini”.

“Sesungguhnya kanak-kanak dan remaja bermasalah, adalah ‘produk’ orang dewasa yang bermasalah, jauh lebih awal mendahului segalanya,”

“Tema yang sangat dekat di hati saya sebagai seorang ayah kepada anak-anak remaja, dan cikgu yang melawan struktur sistem pendidikan semasa sebagai latar belakang ramai remaja gagal merasakan pengalaman persekolahan mereka bermakna”.

“Bukan sahaja dialog mereka bersahaja dan lebih tulen berbanding kebanyakan drama Melayu yang berlambak sejak sekian lama, malah emosi yang dibawa juga kuat pada membawa mesej ‘tiada budak jadi nakal tak bersebab’.

“Apa yang berlaku kepada Arif, Yoyol, Tongki, Laura, Ira demikian juga Talam dan kawan-kawan sekeliling mereka adalah kerana perbuatan orang dewasa di sekeliling, termasuk ibu bapa mereka. Sama ada kerana ganas, jahat, lemah, memanipulasi, menganiaya, mengambil kesempatan, atau mengabaikan, dan tidak cukup berazam untuk memberhentikan kitaran beracun yang ada,” jelas pendidik yang kini menetap di Finland.

Dia juga berterima kasih kepada rakan-rakan di Instagram kerana mencadangkan untuk dia menonton drama bersiri ini.

Bukan hanya jalan cerita, malah OST drama ini juga mendapat pujian dari guru ini.

“Tetapi, sejujurnya… kepuasan lebih mendalam buat saya, adalah pada OST drama ini, iaitu lagu rap SAKIT persembahan anak muda yang saya hormat dan doakan iaitu Zynakal dan Yonnyboii. Ia menceritakan segalanya”.

Nah, tak hairanlah kalau drama ni jadi trending di twitter ya.

Diharap selepas ini lebih banyak lagi kisah-kisah remaja dapat dikupas dalam drama berkualiti seperti ini supaya dapat membuka minda bukan sahaja remaja, malah golongan dewasa bagi memahami jiwa dan masalah yang berkaitan dengan mereka.

Published by
Noor Ain Norman