Frenerietta Sobitun telah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2022. Wakil daerah Sandakan itu telah mengalahkan 43 peserta lain untuk bergelar juara pertandingan berprestij yang telah memasuki penganjuran kali ke-61 itu.
Dia yang berketurunan Dusun Liwan merupakan seorang guru sekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai-Sungai, Beluran. Menerusi kemenangannya, gadis berusia 25 tahun ini mencipta sejarah kerana kali terakhir wakil daerah Sandakan memenangi gelaran tersebut adalah pada tahun 1996
Dalam acara gilang-gemilang yang diadakan secara fizikal di Dewan Hongkod Kooisan, Kadazandusun Cultural Association (KDCA), pertandingan dimulakan meriah dengan pengenalan kesemua peserta.
Kemudiannya, jumlah peserta dikecilkan menjadi top 15 sebelum dikecilkan lagi kepada hanya tujuh peserta akhir. Setelah melalui sesi soal-jawab bersama juri, barulah juara ditentukan.
Selaku juara dan juga Unduk Ngadau Kaamatan yang baharu, Frenerietta Sobitun telah membawa hadiah keselurhan bernilai lebih RM120 ribu termasuk wang tunai bernilai RM12 ribu. Tempat kedua telah jatuh kepada Esther Marius yang mewakili daerah Papar manakala tempat ketiga menjadi milik Deedee Cassandra Dallius yang mewakili daerah Ranau.
Selain itu terdapat anugerah khas yang diberikan. Anugerah Tati Topiodo atau Miss Natural Beauty jatuh kepada Sylvernie Belinda dan anugerah Tati Tosuau atau Miss Friendly telah diberikan kepada Anya Kimberly.
Untuk pengetahuan pembaca, pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan merupakan sebuah pertandingan ratu cantik yang telah diadakan sejak turun temurun di negeri Sabah dan menjadi sebuah acara yang penting dalam kalendar masyarakat di sana.
Unduk Ngadau berasal dari perkataan “tunduk tadau” atau “runduk tadau”yang memberi makna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari” yang merujuk kepada semangat Huminodun.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.